FILEM Bollywood yang dibintangi Aamir Khan, Dangal menjadi filem India pertama meraih kutipan 20 bilion rupee, kata penganalisis hari ini ketika filem itu mendapat sambutan luar biasa di China.
Rekod pecah panggung yang dicapai filem itu meletakkan piawaian kutipan yang tidak pernah dijangka mampu dicapai filem Bollywood selain membuka pasaran khalayak China kepada pembuat filem India.
“Dangal melepasi kutipan 2,000 crore (20 bilion rupee atau AS$310 juta) yang tidak pernah dicapai sebelum ini,” kata penganalisis filem India, Ramesh Bala kepada AFP. Sebelum ini filem Bollywood, PK mencapai kutipan AS$120 juta.
“Malah kutipan 1,000 crore pun hanyalah impian sebelum ini. Piawaian kutipan sekarang diletakkan pada tahap yang sangat tinggi,” katanya lagi.
Dangal diarahkan Nitesh Tiwari ialah filem yang berasaskan kisah benar jurulatih gusti Mahavir Singh Phogat yang menafikan tanggapan awam dengan membesarkan anak perempuannya Geeta dan Babita Phogat menjadi juara gusti dunia.
Geeta memenangi pingat emas untuk India dalam Sukan Komonwel 2010 dan Babita juga meraih pingat dalam kejohanan yang sama pada 2014.
Filem itu dikeluarkan di India pada 23 Disember tahun lepas dan menjadi filem Bollywood terlaris sepanjang zaman, mengalahkan filem sains fiksyen 2014, PK yang juga dibintangi Aamir Khan.
Tema filem itu yang meliputi diskriminasi gender dan gaya keibubapaan yang tegas menarik perhatian penonton China yang menyumbang hampir AS$190 juta kepada kutipan keseluruhan filem itu, kata Bala.
Dangal menjadi filem bukan Hollywood yang mencapai kutipan tertinggi pernah ditayangkan di China. – AFP, 28 Jun, 2017.
Komen