Korea Utara import minyak Rusia guna peniaga Singapura


Korea Utara mula mengurangkan kebergantungan ekonomi kepada China, sebaliknya memilik Rusia dan negara Asia Tenggara untuk kelangsungan ekonominya. – Gambar AFP, 28 Jun, 2017.

PENIAGA berpangkalan di Singapura membantu Korea Utara mendapatkan sehingga 300,000 tan minyak dari Rusia setiap tahun, lapor South China Morning Post yang memetik seorang rakyat Korea Utara yang berpaling tadah.

Ri Jong-ho, bekas pegawai kanan Korea Utara berkata yang negara tertutup itu mendapatkan minyak menggunakan orang tengah Singapura sejak 1990 an lagi dan negara itu lebih banyak bergantung kepada Rusia berbanding China untuk kelangsungan ekonominya.

“Tanggapan yang salah ialah Korea Utara bergantung sepenuhnya kepada China,” katanya.

Ri berkata minyak itu akan diangkut menggunakan kapal tangki dari Valdivostok dan Nakhodka di kawasan barat Rusia ke Korea Utara untuk digunakan sebagai bahan bakar kereta, kapal dan keretapi bagi menyokong ekonomi negara itu.

Orang tengah selalunya akan membeli minyak itu menggunakan dokumen palsu dengan tanggapan yang ia akan dihantar ke China.

Bekas pegawai berusia 59 tahun itu yang berpaling tadah ke Korea Selatan bersama keluarganya pada Oktober 2014 berkata Korea Utara sedang cuba mengurangkan kebergantungan ekonominya kepada China, penyokong kuatnya selama ini.

Pemimpinnya Kom Jong-un mengarahkan kerajaan untuk meluaskan perdagangan dengan Rusia dan negara Asia Tenggara pada Ogos 2014, tidak lama selepas Ri berpaling tadah.

Katanya tindakan ini disebabkan lawatan Presiden China Xi Jinping ke Korea Selatan apabila dia meluahkan penentangan kepada projek pembangunan senjata nuklear Korea Utara.

Perkembangan terbaru ini dijangkan menyukarkan usaha Amerika Syarikat untuk menekan China supaya meminggirkan Korea Utara. – 28 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen