Beberapa penunjuk perasaan cedera di Iran


BEBERAPA orang cedera di barat daya bandar Iran, Khorramshahr lewat Sabtu apabila penunjuk perasaan yang membantah pencemaran air bertempur dengan polis, lapor media negara Iran. – Gambar AFP, 1 Julai, 2018.

BEBERAPA orang cedera di barat daya bandar Iran, Khorramshahr lewat Sabtu apabila penunjuk perasaan yang membantah pencemaran air bertempur dengan polis, lapor media negara Iran.

Penunjuk perasaan bertindak membakar tong sampah dan merosakkan harta benda awam, sehingga memaksa polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka, kata agensi berita kerajaan IRNA pada Ahad.

Sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan cedera parah dalam pentempuran itu dan “beberapa polis” juga cedera, kata agensi itu, memetik timbalan gabenor Khorramshahr Valiollah Hayati.

Gabenor terbabit menafikan laporan media Arab Saudi bahawa tentera keselamatan Iran menembak dan membunuh sekurang-kurangnya empat penunjuk perasaan.

“Tiada seorang pun terbunuh,” kata IRNA, memetik Hayati.

Kekacauan itu timbul selepas kira-kira 500 orang, kebanyakannya orang muda, berkumpul di dataran utama di bandar itu bagi membantah pencemaran yang menjejaskan rangkaian air minuman di bandar itu, kata IRNA.

Penunjuk perasaan juga berkumpul di luar perkarangan sebuah masjid, tambah agensi itu.

Menurut IRNA, terdapat beberapa bantahan terhadap pencemaran air di Khorramshahr dan bandar jiran Abadan sejak tiga hari lalu.

Iran menghadapi masalah ekonomi sejak Amerika Syarikat pada Mei membatalkan perjanjian yang dirangka pada 2015 antara antara Tehran dan enam kuasa dunia.

Perjanjian itu bagi menguatkuasakan sekatan lebih ketat terhadap program nuklear Iran, bagi membolehkan sekatan ekonomi terhadap negara itu dilonggarkan. – AFP, 1 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen