Berdozen cedera, kereta api bawah tanah New York tergelincir


Stesen kereta api bawah tanah di Harlem, New York ditutup selepas kejadian gerabak tergelincir dari landasan pagi tadi menyebabkan ramai cedera dan terkandas. – Gambar AFP, 28 Jun, 2017.

BERDOZEN penumpang cedera apabila dua gerabak kereta api bawah tanah New York tergelincir dari landasan, menyebabkan ratusan lagi terkandas lebih sejam, kata jurucakap jabatan bomba.

Insiden berlaku pagi Selasa di landasan kereta api A antara dua stesen di Harlem di utara Manhattan, menyebabkan 36 cedera ringan.

Jurucakap bomba berkata proses mengeluarkan semua penumpang dari stesen bawah tanah itu mengambil masa lebih sejam.

Setakat ini punca kejadian yang menyebabkan gangguan trafik sepanjang hari, masih belum diketahui.

Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan (MTA), yang menguruskan sistem pengangkutan awam bandar itu berkata situasi berkenaan sedang disiasat.

Pengerusi MTA Joseph Lhota berkata kereta api itu tergelincir mungkin disebabkan brek kecemasan yang diaktifkan, tetapi tidak boleh memberitahu apa yang mencetuskan insiden itu.

Seorang penumpang berkata keadaannya seperti “kuda sedang melarikan diri” dan orang ramai seperti berterbangan dalam gerabak.

“Penumpang panik, terkeluar dari tempat duduk masing-masing, menangis dan berdoa dengan kuat.

“Ia sangat trauma,” katanya.

Kejadian itu mengundang kritikan terhadap sistem kereta api bawah tanah New York yang kuno, sedangkan ia sistem pengangkutan paling sibuk di dunia dengan lebih 5.6 juta perjalanan harian, menyebabkan penumpang marah kerana sering berlaku kelewatan dan kejadian tidak diingini. – AFP, 28 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen