Cukai pelancongan ditangguh sehingga 1 Ogos depan, kata Nazri


Diyana Ibrahim

CUKAI pelancongan yang mencetuskan kontroversi akan ditangguhkan pelaksanaan sehingga 1 Ogos ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz.

“Ya betul cukai pelancongan,” balas menteri itu ringkas kepada The Malaysian Insight sebentar tadi.

Terdahulu memetik sumber akhbar Sin Chew Daily Nazri berkata penangguhan cukai pelancongan itu dilakukan kerana sistem yang ada masih belum lengkap.

Pelaksanaan cukai pelancongan yang dipersoalkan banyak pihak terutama Sarawak sepatutnya akan bermula pada 1 Julai ini selepas Rang Undang- Undang (RUU) Cukai Pelancongan 2017 diluluskan di Parlimen, April lepas.

Selain itu Nazri berkata kerajaan hanya akan mengenakan cukai pelancongan kepada warga asing ke atas semua jenis hotel.

Bagaimanapun, bagi rakyat Malaysia mereka akan dikecualikan daripada dikenakan cukai pelancongan sekiranya menginap di hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata pelaksanaan cukai pelancongan akan mengikut empat kategori di mana bagi hotel lima bintang caj dikenakan sebanyak RM20, empat bintang RM10, tiga bintang RM5 dan hotel dua bintang ke bawah sebanyak RM2.50.

Mengenai jumlah daripada hasil kutipan cukai pelancongan yang akan disalurkan kepada negeri beliau menjawab hal itu perlu ditanya kepada pihak Kastam.

“Macam mana itu kena tanya pada Kastam,” katanya. Jabatan Kastam Diraja Malaysia bertanggungjawan menguruskan cukai pelancongan.

Pelaksanan cukai pelancongan ini mendapat tentangan hebat terutamanya Sarawak yang memutuskan akan menarik balik penyertaan wakilnya daripada Lembaga Pelancongan Malaysia awal Jun lalu.

Ia susulan pertikaian yang tercetus antara Menteri Pelancongan Sarawak Abdul Karim Hamzah dan Nazri yang kemudian diredakan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahad lalu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg menegaskan Sarawak tidak akan melaksanakan cukai pelancongan yang sepatutnya akan dilaksanakan pada 1 Julai kerana perbincangan mengenai perkara itu masih lagi diadakan.

Katanya perbincangan itu antaranya cara kerja dimana hotel perlu mengubah kontrak mereka dengan pelanggan yang membuat tempahan awal. – 27 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen