PRESIDEN Syria Bashar al-Assad mungkin sedang bersedia untuk melancarkan satu lagi serangan senjata kimia yang boleh menyebabkan “pembunuhan beramai-ramai” orang awam, kata Rumah Putih hari ini, memberikan amaran yang rejim itu terpaksa berdepan dengan “hukuman berat” sekiranya ia meneruskan serangan itu.
Rumah Putih berkata persediaan itu serupa seperti mana yang diambil rejim Assad dalam serangan senjata kimia ke atas bandar yang dikuasai pemberontak pada Arpril lepas.
Washington melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan udara tentera Syria beberapa hari selepas serangan April lepas, tempat disyaki menjadi pusat pelancaran senjata kimia itu.
Sedangan 59 peluru berpandu Tomahawk itu ialah serangan pertama secara langsung Amerika Syarikat kepada rejim Syria dan tindakan kententeraan paling dramatik dilakukan Trump selepas menjadi presiden pada Januari tahun ini.
Ia juga menegangkan hubungan Washington dan Moscow yang mendakwa AS melanggar undang-undang antarabangsa dengan tindakan itu.
Rusia menyokong rejim Syria sejak 2015 dengan melancarkan serangan udara kepada tempat yang dikatakan dipegang militan Islam.
“Amerika Syarikat mengenalpasti kebarangkalian persedian untuk satu lagi serangan senjata kimia oleh rejim Assad yang boleh menyebabkan pembunuhan beramai-ramai orang awam, termasuk kanak-kanak tidak berdosa,” kata jurucakap Sean Spicer dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam Isnin itu.
Kenyataan itu tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaan itu.
“Persediaan itu serupa dengan persediaan yang dilakukan rejim sebelum serangan senjata kimia pada 4 April 2017.”
Serangan pada April di bandar dipegang pemberontak, Khan Sheikhun membunuh sekurang-kurangnya 87 orang, termasuk ramai kanak-kanak. Imej serangan yang memaparkan kematian dan kecederaan dialami mangsa menimbulkan kemarahan dunia. Jabatan Negara AS mengatakan tindakan itu ialah jenayah perang.
Assad yang disokong Rusia menafikan sekerasnya dakwaan yang tenteranya menggunakan senjata kimia di bandar itu, menyifatkannya sebagai “100 peratus palsu”.
Dia berulang kali mengatakan yang tenteranya menyerahkan semua bekalan senjata kimia pada 2013, menerusi perjanjian yang dilakukan bersama Rusia untuk mengelakkan tindakan ketenteraan AS.
Perjanjian itu kemudiannya dimaktubkan dalam resolusi Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu.
Tetapi Setiausaha Pertahanan AS Jim Mattis sebelum ini memberikan amaran yang “tanpa ragu” Syria masih menyimpan bekalan senjata kimia. Penilaian ketenteraan Israel juga menyebut yang rejim Assad masih memiliki “beberapa tan” senjata kimia.
“Seperti yang kami katakan sebelum ini, Amerika Syarikat berada di Syria untuk menghapuskan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (IS),” tambah Spicer dalam kenyataannya.
“Tetapi sekiranya, Assad melakukan satu lagi pembunuhan besar-besaran menggunakan senjata kimia, dia dan tenteranya perlu menerima hukuman berat.”
Perang di Syria bermula pada Mac 2011 apabila protes anti kerajaan bertukar menjadi konflik yang lebih besar dan menyebabkan 320,000 orang terkorban.
Rusia melancarkan serangan udara di Syria untuk menyokong Assad, sementara AS menyasarkan IS.
Washington dan Moscow masih belum menemui jalan penyelesaian konflik itu.
Pemberontak kini semakin terdesak apabila tentera rejim semakin menguasai dengan bantuan Rusia dan Iran.
Sementera itu, tentera AS dan sekutunya sedang bertemput untuk menyingkirkan IS dari Raqa, Syria.
Pakatan itu juga menghulurkan bantuan kepada serangan besar-besaran kepada kawasan terakhir dimiliki IS di Mosul, di negara jiran Iraq. – AFP, 27 Jun, 2017.
Komen