Biar ahli Parlimen pembangkang tentukan ketua, kata Zahid


Mohd Farhan Darwis

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendiamkan khabar angin yang Khairy Jamaluddin pasti dilantik jadi ketua pembangkang di Parlimen, berkata yang perbincangan belum dilakukan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Julai, 2018.

PERBINCANGAN sudah dibuat tentang peranan bakal dimainkan calon presiden yang tewas, Khairy Jamaluddin tetapi ia tidak menyentuh pelantikannya sebagai ketua pembangkang di Parlimen, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata, ini kerana jawatan ketua pembangkang perlu mendapat persetujuan daripada semua ahli Parlimen pembangkang.

“Saya sudah berbincang dengan Khairy pagi tadi saya telah adakan perincian terhadap peranan yang akan dimainkan beliau dalam organisasi arus perdana.

“Tidak pernah bincang soal siapa jadi ketua pembangkang, itu hak ahli Parlimen pembangkang yang akan bincangkannya,” kata Zahid dalam sidang media sulungnya sebagai presiden Umno hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, kebiasaannya ketua pembangkang akan dipilih daripada kalangan presiden parti.

“Saya kena bincang dengan PAS dan ahli Parlimen pembangkang lain siapa yang akan jadi ketua pembangkang dalam mesyuarat ahli majlis tertinggi sebelum persidangan Parlimen akan datang,” katanya.

Zahid menewaskan Khairy dan Tengku Razaleigh Tengku Hamzah untuk memegang jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu semalam.

Umno kini mempunyai 51 kerusi Parlimen selepas tiga ahli Parlimennya mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu.

Tiga ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali dan terbaru hari ini ialah bekas ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin yang juga ahli Parlimen Masjid Tanah.

Mengulas perkara itu, Zahid berkata, walaupun beliau menghormati keputusan Mas Ermieyati tetapi mengingatkannya yang kerusi Parlimen Masjid Tanah dimenangi atas tiket Umno.

“Sebagai imam, janji saya sejak dahulu kepada mereka, imam tidak akan meninggalkan jemaah, tetapi jika ada makmum yang keluar daripada jemaah yang diketuai imam itu, mereka seharusnya memikirkan keputusan tidak dibuat berdasarkan pertimbangan dan perkiraan peribadi tetapi sebaliknya kemenangan kita di kerusi-kerusi berkenaan adalah bagi rakyat yang diwakili kita dan parti yang memberikan peluang dan mandat kepada kita,” katanya. – 1 Julai, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen