Tumpuan kini kepada 'isteri MO1', kata Kit Siang


TUMPUAN kini beralih kepada isteri “Malaysian Officer 1” (MO1) selepas pelakon Amerika Leonardo DiCaprio dan model Australia, Miranda Kerr menyerahkan hadiah bernilai jutaan ringgit yang diterima daripada Jho Low kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), kata pemimpin DAP Lim Kit Siang dalam blognya hari ini.

“Semua pihak, bukan hanya di Malaysia, tetapi dunia sekarang memberi tumpuan kepada Rosmah (Mansor, isteri Perdana Menteri Najib Razak), berkaitan dengan tiga perkara,” kata Lim.

Lim merujuk Rosmah berdasarkan pengakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan yang “isteri MO1” adalah isteri kepada perdana menteri.

Lim menggariskan tiga perkara sebagai:

• Sama ada Rosmah akan bersetuju dengan Rahman yang beliau adalah wanita disebut sebagai “isteri MO1” dalam saman DoJ;

• Sama ada beliau menerima hadiah daripada Jho Low yang diseleweng dan disalahgunakan daripada dana 1MDB, seperti berlian merah jampur 22 karat berharga AS$27.3 juta (RM117 juta) dan  rantai serta gelang emas 18 karat yang bernilai AS$1.3 juta (RM5.58 Juta); dan

• Sekiranya semua jawapan positif kepada soalan ini, sama ada beliau akan mengikut jejak langkah DiCaprio dan Kerr untuk menyerahkan kepada penyiasat DoJ semua hadiah barang kemas daripada Jho Low.

DiCaprio menyerahkan Oscar yang dimenangi Marlon Brando kepada AS yang menjalankan siasatan pengubahan wang haram oleh 1MDB serta memulangkan kembali barangan lain yang tidak dikenal pasti dikatakan pelakon itu sebagai hadiah untuk lelongan amal.

Hari ini, dilaporkan Kerr memindahkan hadiah kepada ejen DoJ daripada peti deposit keselamatannya di Los Angeles.

Dalam pemfailan baru pada 15 Jun, DoJ memulakan tindakan merampas karya seni Picasso dan Basquiat yang dikatakan dibeli dengan wang haram dan diberikan kepada DiCaprio.

DoJ memfailkan tiga saman sivil untuk merampas aset, termasuk barang kemas milik Kerr, berjumlah AS$4.5 bilion yang didakwa dibeli dengan wang yang disalurkan daripada 1MDB. – 27 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen