Miranda Kerr serah barang kemas RM35 juta kepada DoJ


Miranda Kerr menyerahkan barang kemas yang diterimanya daripada Low Taek Jho kepada DoJ yang didakwa dibeli dengan dana 1MDB. – Gambar AFP, 27 Jun, 2017.

MODEL Australia Miranda Kerr menyerahkan barang kemas bernilai AS$8.1 juta (RM35 juta) yang dihadiahkan Jho Low kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), lapor Wall Street Journal.

Barang kemas itu didakwa dibeli dengan dana yang disalurkan daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh Low, atau Low Taek Jho.

Kerr menyerahkan hadiah itu pada Jumaat kepada ejen kerajaan daripada peti deposit selamatnya di Los Angeles, seorang jurucakap memberitahu WSJ.

Di antara hadiah itu adalah berlian berbentuk hati 11.72 karat bernilai AS$1.29 juta dan berlian 8.88 karat AS$ 3.8 juta.

DoJ memfailkan tiga saman sivil untuk merampas aset, termasuk barang kemas Kerr, berjumlah AS$4.5 bilion yang didakwa dibeli dengan wang yang diambil daripada firma pelaburan negara itu.

Aset lain termasuk kapal layar Low AS$250 juta, hartanah di London, New York dan Los Angeles, karya seni dan patung Oscar, yang diserahkan oleh pelakon Leonardo DiCaprio sebelum ini.

Low berikrar untuk menentang saman itu.

Kerr berpasangan dengan Low selama kira-kira setahun pada 2014, sejurus selepas perceraiannya dengan pelakon Orlando Bloom. Kerr berkahwin dengan pengasas bersama Snap Inc, Evan Spiegel bulan lepas.

Loket berlian berbentuk hati adalah hadiah untuk Kerr pada Hari Kekasih 2014 manakala rantai berbentuk hati pula hasil pereka yang berpangkalan di New York, Lorraine Schwartz. – 27 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen