PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok bagi membantu siasatan berhubung isu melibatkan penyelewengan dana yayasan seperti dilaporkan media baru-baru ini.
“Saya diminta untuk membuat penjelasan terhadap beberapa isu, pertamanya, seperti mana tersiar di media… adalah mengenai sebuah yayasan yang dipunyai keluarga saya sendiri,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau akan menjelaskan kepada SPRM berhubung tujuan dan fungsi yayasan berkenaan.
“Yayasan itu tujuannya adalah untuk melakukan kerja amal jariah, bina masjid, pusat tahfiz dan membuat beberapa aktiviti lain bagi mengikut hukum syariah, seperti infak dan beberapa aktiviti keagamaan.
“Wang dari yayasan itu adalah dari wang saya sendiri dan dari rakan yang ingin melakukan amal jariah,” katanya.
Zahid dilaporkan dipanggil berhubung dakwaan beliau menggunakan wang milik yayasan untuk membayar bil kad kredit.
Akhbar The Star melaporkan, bekas timbalan perdana menteri itu juga akan diambil keterangan berhubung dakwaannya pada 2015 bahawa keluarga diraja Arab Saudi mendermakan AS$700 juta yang disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri Najib Razak.
Sumber terdekat memberitahu akhbar berbahasa Inggeris itu beberapa dokumen yang ditemui menunjukkan transaksi bayaran kepada Zahid dan isterinya menggunakan dana yayasan terbabit.
Ia adalah untuk melunaskan bayaran kad kredit milik Zahid dan isterinya berjumlah RM800,000.
“Kami mahu memastikan sama ada dakwaan Zahid menggunakan dana daripada yayasan itu untuk kegunaan peribadi,” sumber berkenaan memberitahu The Star.
Zahid merupakan pengerusi kepada yayasan yang didaftarkan pada 1997 yang berperanan menerima dan menguruskan dana untuk membasmi kemiskinan.
“Penyiasat juga akan menyoal mengenai kenyataan yang dibuat oleh beliau mengenai pertemuan dengan putera Arab Saudi. Kami mahu mengetahui lebih lanjut mengenai individu ini yang katanya pernah ditemuinya dan apa yang berlaku pada pertemuan itu,” menurut satu lagi sumber.
Zahid membuat pendedahan berhubung penderma Arab Saudi pada 22 Ogos, 2015 pada pembukaan Umno Bahagian Sri Gading. – 1 Julai, 2018.
Komen