Penerbangan ke KL berpatah semula ke Perth kerana masalah teknikal, kata AirAsia


Noel Achariam

Pesawat AirAsia yang berpatah balik ke Australia kerana masalah teknikal ialah jenis Airbus 330A seperti dalam gambar. – Gambar AFP, 26 Jun, 2017.

AIRASIA X mengesahkan penerbangan D7237 yang dalam perjalanan dari Perth, Australia ke Kuala Lumpur terpaksa kembali ke lapangan terbang Perth sejurus selepas berlepas semalam disebabkan masalah teknikal.

Syarikat penerbangan itu berkata pada 25 Jun, pesawat yang berlepas pada jam 6.50 pagi waktu tempatan bersama 359 penumpang mendarat selamat di lapangan terbang pada jam 10.00 pagi.

AirAsia X berkata para penumpang disambut kakitangan apabila mendarat dan diberikan segala bantuan yang diperlukan.

“Jurutera kami mengambil langkah berjaga-jaga untuk memeriksa pesawat itu. Para tetamu yang menaiki penerbangan dipindahkan ke penerbangan seterusnya yang ada atau penerbangan gantian D7 689 yang selamat berlepas dari Perth pada jam 23.40 hari yang sama.”

Dilaporkan penerbangan AirAsia itu terpaksa berpatah semula semalam disebabkan masalah teknikal, dengan seorang penumpang mengatakan pesawat itu “bergegar seperti mesin basuh”.

Pesawat Airbus A330 dari Perth ke Kuala Lumpur mengalami itu masalah sekitar 90 minit semasa dalam perjalanan.

“Juruterbang mengenalpasti masalah teknikal, berpatah balik,” kata seorang jurucakap lapangan terbang kepada AFP, sambil menambah anggota kecemasan bersedia tetapi tidak diperlukan.

Syarikat penerbangan tambang murah itu dilaporkan mengumumkan yang “kru penerbangan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memeriksa pesawat itu”.

Akhbar Barat Australia melaporkan penumpang mengatakan mereka mendengar bunyi letupan dan kemudian pesawat itu mula bergegar.

“Anda boleh tahu berdasarkan reaksi kru kabin yang ia benar-benar teruk,” kata Sophie Nicolas seperti dilaporan akhbar itu.

“Ia menakutkan.”

The Herald Sun melaporkan juruterbang memberitahu penumpang “berdoa” selepas masalah enjin memaksa pesawat itu kembali ke Perth.

Apabila ditanya sama ada ini protokol atau ia perlu diumumkan kerana mungkin mencetuskan ketakutan di kalangan penumpang, AirAsia X berkata mereka tidak mempunyai sebarang perkara untuk ditambah.

Seorang lagi penumpang, Brenton Atkinson, memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia, pesawat itu bergegar, lebih daripada biasa.

“Saya rasa enjin itu terhenti, itulah yang mereka katakan kepada kami,” katanya.

“Ia benar-benar seperti anda duduk di atas mesin basuh. Semasa ia berlaku, kami dapat melihat enjin di luar tingkap menyebabkan sayap bergegar.

“Sebaik sahaja mendarat, kami menyedari salah satu daripada bilahnya terkeluar dari turbin.”

Syarikat penerbangan itu mengalami kejadian maut pertama pada Disember 2014, ketika AirAsia Flight QZ8501 terhempas dalam cuaca buruk di Indonesia dengan 162 penumpang dan anak kapal di atas kapal. – 24 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen