IA adalah satu “penghinaan kepada seorang lelaki yang hebat” kerana mengatakan mendiang Lee Kuan Yew mungkin tidak memahami atau mengetahui apa yang ada dalam wasiatnya yang terakhir, respons anak lelakinya Lee Hsien Yang terhadap persoalan mengenai dokumen itu berhubung pertikaian terhadap kediaman di 38 Oxley Road.
Pada Sabtu malam, Menteri Kanan Negara (Kewangan dan Undang-Undang) Indranee Rajah mengulangi kenyataan yang pertama kali dibangkitkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong: Identiti peguam yang menyiapkan wasiat terakhir Lee, dan persoalan yang mungkin timbul jika ia adalah Lee Suet Fern – isteri Hsien Yang – memandangkan wasiat itu menambah pembahagian harta pusaka kepada suaminya.
Menulis di Facebook, Indranee mempersoalkan siapa yang Hsien Yang rujuk bagi kenyataan sebelum ini yang menyebut, “kami merujuk apa yang kami fahami sebagai versi terakhir wasiat 2011, tanpa menyedari pemberian pada klausa dalam versi yang dilaksanakan pada wasiat 2011”. Pemberian berhubung klausa dalam wasiat itu adalah memberikan hadiah harta kepada penerima kedua jika kejadian tertentu berlaku.
“Sekiranya peguam yang dirujuk sebagai ‘kami’ adalah Lee Suet Fern, maka beberapa persoalan tertentu akan timbul. Di bawah undang-undang kita, peguam merangka wasiat perlulah bebas, jika peguam itu mempunyai kepentingan dalam wasiat, peguam perlu memastikan individu yang membuat wasiat mendapat nasihat bebas,” kata Idranee.
Beliau juga menimbulkan beberapa persoalan mengenai wasiat ketujuh dan terakhir Lee. Ia termasuk: Adakah Lee mempunyai masa yang cukup untuk membaca dan menyerap kandungan wasiat terakhirnya, bolehkah beliau melakukannya dalam masa hanya lima minit mengikut Hsien Loong, dan adakah beliau menyedari fasal merobohkan dimasukkan semula?
Hsien Yang menjawab dengan catatan Facebooknya lebih kurang sejam kemudian, walaupun tidak menjawab soalan yang ditimbulkan oleh Indranee tentang peranan isterinya.
Sebaliknya, beliau berkecil hati dengan kenyataan kemungkinan mendiang ayahnya tidak mengetahui apa yang dilakukan ketika menandatangani wasiatnya yang terakhir.
“Lee Hsien Loong kini menyuruh menteri-menterinya mengulangi dakwaannya Lee Kuan Yew tidak memahami wasiatnya sendiri. Mereka berpendapat Lee Kuan Yew, seorang peguam yang berpendidikan Cambridge dan ahli Parlimen, menandatangani wasiatnya sendiri tanpa mengetahui apa yang ada di dalamnya. Mereka mendakwa beliau menandatangani di bawah fasal perobohan, tanpa memahami apa yang dimaksudkan dengan bahasa Inggeris biasa,” tulis Hsien Yang.
“Ini adalah penghinaan kepada seorang lelaki yang hebat”. – 26 Jun, 2017.
Komen