SEKURANG-KURANGNYA sembilan penumpang maut dan 20 yang lain masih hilang selepas bot membawa kira-kira 150 pelancong tenggelam di kawasan tadahan air di barat laut Colombia semalam, kata polis.
Pihak berkuasa tidak mengatakan apa yang menyebabkan Almirante empat dek karam di kawasan tadahan air El Penol di bandar pelancongan Guatape, yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
“Setakat ini tiga penumpang maut dan kira-kira 30 hilang,” kata komander polis Jorge Hernando Nieto kepada BluRadio.
Pasukan tentera udara berkata helikopter sedang dalam perjalanan untuk membantu operasi menyelamat.
Lokasi itu terletak 68 kilometer dari bandar Medellin dan salah satu tarikan pelancongan utama di bahagian Antioquia.
Video yang tular di media sosial menunjukkan bot berkenaan tenggelam dan puluhan kapal lain mendekatinya untuk cuba menyelamatkan penumpang.
“Keadaan ini kelihatan serius,” kata seorang pegawai.
Pegawai itu berkata mangsa yang diselamatkan dihantar ke hospital tempatan di Guatape.
“Ia tenggelam sangat cepat, semuanya berlaku dalam masa beberapa minit,” kata seorang kapten daripada pasukan penyelamat, Luis Bernardo Morales.
“Apa yang kita lihat dalam video, bot itu sangat dekat dengan pelabuhan… dan kita tidak tahu sama ada ia disebabkan kegagalan mekanikal, muatan berlebihan atau sesuatu berkaitan dengan arus yang menyebabkan ia tenggelam.”
Guatape menjadi tumpulan pelancong pada cuti hujung minggu yang panjang memandangkan hari ini cuti umum di Colombia.
Pasukan penyelamat berkata ia menghantar pasukan daripada tujuh cawangan untuk membantu.
Datuk Bandar Medellin Federico Gutierrez berkata beliau menghantar pasukan yang diketuai seorang kapten dan lima penyelam skuba.
“Kawasan ini agak sukar untuk dimasuki dan pelbagai pasukan penyelamat dan kecemasan mulai sampai,” katanya pada BluRadio.
Presiden Juan Manuel Santos berkata di Twitter tentera udara dan perkhidmatan kecemasan dikerahkan untuk menangani kecemasan di Guatape.
“Kami bersedia memberikan bantuan yang diperlukan,” katanya. – AFP, 26 Jun, 2017.
Komen