Perdana Menteri Najib Razak di dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri tahun ini menyenaraikan lima risiko dan cabaran baharu yang perlu dihadapi Malaysia.
Ia adalah isu geopolitik (berkait Timur Tengah, Korea Utara dan Brexit); keselamatan dan keamanan termasuk isu Islamic State (IS); ekonomi; mendahulukan kepentingan rakyat; dan masa depan dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Walaupun amat penting untuk kita meneliti hala tuju negara dari semasa ke semasa, bagi saya masih terdapat banyak cabaran “lama” yang belum diatasi dengan menyeluruh.
Bak peringatan Nabi Muhammad agar kita rebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara, lima cabaran “lama” ini perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum lima cabaran “baharu” yang disebut Najib.
Lima cabaran “lama” ini termasuklah:
Menentu ukur semula (recalibrate) dasar luar negara Malaysia.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita sering mendengar isu politik serantau termasuk isu Laut Cina Selatan – khusus berkait pencerobohan kawasan perairan negara – dan peperangan di Timur Tengah.
Walaupun media melaporkan penglibatan Malaysia di dalam latihan ketenteraan “North Thunder” di Arab Saudi pada Mac 2016 hanyalah untuk menimba pengalaman pertempuran padang pasir, namun ada pihak yang bertanya apakah bijak kita turut terlibat dalam persengketaan bersenjata di Timur Tengah.
Kita bukan sahaja tidak mahu sempadan dan politik dalam negara dikacau mana-mana kuasa asing, tetapi kita juga tidak patut menghantar askar negara untuk terlibat di dalam konflik geopolitik yang tiada kaitan dengan kita, lebih-lebih lagi jika konflik itu tiada aspek bantuan kemanusiaan.
Oleh itu, amatlah penting Putrajaya menentu ukur semula dasar luar negara dengan mengukuhkan doktrin Malaysia sebagai sebuah negara berkecuali yang beroperasi di dalam Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (Zopfan).
Kita tidak perlu berpihak di dalam perbalahan geopolitik, terutama di antara kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan China atau di kalangan negara Arab di Timur Tengah. Malah berdasarkan pengalaman Malaysia sebagai negara berkecuali, kita perlu mempraktikkan strategi Malaysia sebagai “perantara” atau “perunding” kepada perbalahan geopolitik demi keamanan sejagat.
Perang ke atas perasuah, koruptor dan kleptokrat
Pada 2016, akibat skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Malaysia disenaraikan di antara lima negara yang mempunyai masalah rasuah paling besar di dunia. Malah Malaysia berada di kedudukan ke-55 dari 176 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International bagi 2016.
Satu laporan turut menyatakan Malaysia kehilangan RM1.8 trilion dari 2005 ke 2014 akibat aliran wang haram.
Ini bukanlah pencapaian yang membanggakan.
Selagi isu 1MDB tidak selesai dengan menghadapkan mereka yang bersalah ke mahkamah sama seperti apa yang berlaku di Singapura, Switzerland, Luxembourg dan AS, dan selagi aliran wang haram tidak dibendung, selagi itulah persepsi yang perasuah, koruptor dan kleptokrat bermaharajalela akan berterusan.
Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai agensi utama dalam memerangi rasuah juga perlu memastikan saksi kes rasuah dapat tampil memberi keterangan di mahkamah dan tidak hilang begitu sahaja. Jika tidak, rakyat mungkin melihat usaha SPRM hanya sebagai wayang pra-pilihan raya.
Memperkukuh kedudukan sosio-ekonomi rakyat.
Indeks Harga Pengguna terkini menunjukkan inflasi meningkat 3.9%. Ini bermakna harga barang semakin hari semakin naik.
Walaupun MIDF menjangka peningkatan gaji median sebanyak 6.5% bagi 2017, jumlah pengangguran di kalangan anak muda yang mencecah 10.7% atau 200,000 orang amat merisaukan. Bila diambil kira umur median Malaysia adalah 28, yang bermaksud 15 juta rakyat Malaysia berumur di bawah 28 tahun, sekiranya isu gaji graduan/minima, peluang pekerjaan dan inflasi tidak ditangani dengan menyeluruh, ekonomi negara pasti terkesan pada jangka masa panjang.
Berkait dengan isu ini adalah isu perumahan, di mana realitinya adalah warga kota semakin sukar memiliki rumah di Lembah Klang. Gesaan beberapa pihak agar kerajaan meningkatkan jumlah rumah di bawah skim sewa beli (rent-to-own) juga masih belum terlaksana sehingga mereka memanggil masalah perumahan ini sebagai “krisis nasional yang bakal berlaku”.
Tak perlu fokus yang jauh; Putrajaya perlu fokus hal ini dahulu.
Reformasi institusi demokrasi.
Mutakhir ini, kita mendengar usaha untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes BMF tahun 80an. Seperti yang disebut ramai pimpinan politik, usaha ini amat dialu-alukan kerana ia mampu memberi penjelasan serta mencari keadilan dalam isu tersebut.
Bagaimanapun, seperti yang kita pernah saksikan dengan hasil siasatan RCI terhadap VK Lingam dan “Projek IC” di Sabah, siasatan dan laporan semata-mata tidak menjadi reformasi sistem; pihak berkuasa perlu dilihat melaksana reformasi bukan sahaja dengan mengenalpasti mereka yang terlibat tetapi dengan memastikan undang-undang mencukupi agar sistem tidak punah lagi di masa hadapan.
Oleh itu, demi mereformasi institusi-institusi demokrasi di negara ini, satu Jawatankuasa Kebenaran dan Perdamaian (Truth and Reconciliation Committee) perlu ditubuhkan untuk bukan sahaja menyelesaikan krisis yang merosakkan institusi demokrasi (sebagai contoh, BMF dan 1MDB melibatkan institusi kewangan dan perbankan; VK Lingam – kehakiman; projek IC – kewarganegaraan dan sistem pilihan raya; tragedi Double Six di Sabah – pentadbiran wilayah; dan lain-lain lagi), tetapi juga mencadangkan proses dan langkah yang diperlukan untuk merangka satu Rang Undang-Undang Reformasi Demokrasi di Parlimen. RUU ini akan memansuhkan undang-undang zalim dan mereformasi institusi-institusi demokrasi di Malaysia secara menyeluruh.
Mengangkat ketuanan rakyat dan program Reformasi Nasional.
Pada 2008, pasca PRU-12, “Ketuanan Rakyat” diungkap Dr Syed Husin Ali sebagai agenda mengangkat martabat rakyat. Ketuanan rakyat menolak fahaman politik perkauman sempit dan berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat terbanyak (terutamanya golongan miskin) dengan menggantikan Dasar Ekonomi Baru dengan Agenda Ekonomi Malaysia.
Kini, hampir 10 tahun kemudian, kita dapat saksikan bagaimana semangat “ketuanan rakyat” ini direalisasikan di Selangor dan Pulau Pinang melalui program peduli rakyat seperti Skim Mesra Usia Emas, Skim Peduli Sihat, bas percuma dan banyak lagi.
Jika Umno-Barisan Nasional (BN) mengetengahkan program “Transformasi Nasional 2050” (TN50) yang merupakan anjakan tiang gol daripada Wawasan 2020 ke 30 tahun kemudian, saya mencadangkan agar diusahakan program “Reformasi Nasional 2017” (RN17) yang mengumpul idea, pandangan, cadangan, dan harapan rakyat untuk mereformasikan Malaysia melalui siri pertemuan rakyat (townhall sessions) di seluruh negara. Pimpinan Pakatan Harapan di setiap negeri kemudiannya akan berusaha menterjemahkan suara-suara rakyat ini melalui siri program atau manifesto peringkat negeri mahupun kebangsaan.
Akhir sekali, walaupun pelbagai risiko dan cabaran baharu mungkin melanda kita, demi nusa dan bangsa, kita perlu berwaspada agar cabaran yang masih belum diatasi tidak diketepikan begitu sahaja.
Selamat Hari Raya. Ayuh selamatkan Malaysia. – 26 Jun, 2017.
* Fahmi Fadzil adalah pengarah komunikasi PKR.
* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen