Sarawak tak akan laksanakan cukai pelancongan 1 Julai, kata ketua menteri


Desmond Davidson

CUKAI pelancongan tidak akan dilaksanakan di Sarawak pada 1 Julai kerana perbincangan mengenainya dengan Putrajaya masih berjalan, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg hari ini.

“Masih belum muktamad. Hanya cara kerja yang selesai. Ada isu lain yang perlu dibincangkan,” katanya.

Salah satu isu tersebut ialah “tempahan awal”.

Katanya hotel perlu mengubah kontrak mereka dengan pelanggan yang membuat tempahan awal sekiranya mereka mahu mengenakan caj cukai pelancongan kepada pelanggan yang membuat tempahan sebelum cukai itu diperkenalkan. Ia juga boleh membawa kepada pertikaian, katanya.

Abang Johari juga berkata yang Sarawak akan bekerjasama dengan Sabah untuk menyelesaikan masalah pelaksanaan cukai.

Sementara itu, Abang Johari berkata yang Sarawak bersetuju dengan cukai pelancongan yang kontroversi itu selepas melakukan rundingan dengan Putrajaya, menjawab tuduhan yang negeri itu mengalah kepada tuntutan kerajaan pusat.

Abang Johari berkata salah satu persefahaman yang berjaya dicapai ialah kutipan cukai akan dikongsi secara saksama antara tiga kawasan yang membentuk Persekutuan Malaysia- Sarawak, Sabah dan negeri bersekutu di Semenanjung Malaysia.

“Cukai dan kutipan cukai ialah kuasa kerajaan pusat di bawah Perlembagaan Persekutuan. Manakala cukai ialah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Apabila saya bertemu dengan perdana menteri (Najib Razak), saya membangkitkan isu kuasa perkongsian dan konflik (cukai pelancongan) dengan hak negeri,” kata Abang Johari yang bertemu Najib pada 14 Jun lepas.

Ketua menteri itu berkata yang persefahaman itu berlaku sewaktu pertemuan itu yang diadakan untuk membincangkan persiapapan pilihan raya kecil Pujut yang kini dibatalkan.

Najib juga bersetuju dengan desakan supaya bahagian Sarawak dalam duit cukai itu diberikan terus kepada kerajaan negeri dan “bukannya melalui mana-mana agensi kerajaan pusat”.

“Kami akan terus mempertahankan hak negeri,” kata Abang Johari menambah yang saluran “perbincangan mendalam” dengan Putrajaya kini dibuka untuk mengelakkan pertikaian seperti cukai pelancongan berulang dan konflik masa depan berkaitan hak negeri.

Menteri Pelancongan Sarawak Abdul Karim Hamzah meminta kerajaan pusat untuk penangguhan cukai itu dan campur tangan Putrajaya dalam bidang kuasa negeri mencetuskan pertikaian antara menteri pelancongan dan kebudayaan kerajaan pusat, Nazri Aziz.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen menuduh kerajaan negeri “mengalah kepada Umno” dan menjadikan rakyat “kerugian besar” dalam persefahaman yang dicapai dengan Putrajaya tentang cukai pelancongan.

Chong berkata rakyat kini berdepan dengan dua bebanan cukai-GST dan kini cukai pelancongan untuk penginapan di hotel.

Rakan separtinya di Sabah, Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Tanjong Chan Foong Hin berkata pada Jumaat lalu yang tindakan Sarawak menunjukkan “tiada apa yang boleh dicapai dibawah pemerintahan kerajaan sekarang”.

“Pengajaran yang kita dapat melalui kemelut cukai pelancongan ini ialah satu-satunya cara untuk mendapatkan autonomi negeri ialah melalui perubahan parlimen,” kata Chan. – 25 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen