SEBUAH pesawat AirAsia dalam perjalanan ke Malaysia terpaksa berpatah balik ke Austalia hari ini kerana masalah teknikal, dengan seorang penumpang mengatakan yang pesawat itu “bergegar seperti mesin basuh”.
Airbus A330 dari Perth ke Kuala Lumpur mengalami masalah itu selepas 90 minit memulakan perjalanan.
Ia mendarat dengan selamat dan Lapangan Terbang Perth menyifatkan kejadian itu sebagai “masalah teknikal”.
“Juruterbang mengenalpasti masalah teknikal, dan berpatah balik,” seorang jurucakap lapangan terbang memberitahu AFP, menambah yang kakitangan kecemasan disediakan tetapi tidak diperlukan apabila pesawat itu mendarat.
Syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia itu berkata “krew penerbangan mengambil tindakan yang diperlukan untuk memeriksa pesawat”.
Ini ialah kejadian kedua melibatkan Airbus A330 di Australia bulan ini, sebelum ini sebuah pesawat Chinese Eastern terpaksa membuat pendaratan cemas di Sydney selepas lubang besar dikesan wujud di salah satu penutup enjinnya.
Pesawat itu dalam perjalanan ke Shanghai dari Sydney, tiada penumpang yang cedera.
Syarikat penerbangan Malaysia itu terlibat dalam bencana pertamanya pada Disember 2014 selepas penerbangan AirAsia QZ8501 membawa 162 penumpang terhempas dalam ribut kuat di Indonesia
Kejadian itu ditambah dengan dua bencana melibatkan Malaysia Airlines pada tahun yang sama yang menyebabkan ratusan nyawa melayang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengembara tentang keselamatan syarikat penerbangan Malaysia. – AFP, 25 Jun, 2017.
Komen