DOKTOR Sri Lanka menghentikan mogok selama tiga hari selepas mengadakan perbincangan dengan kerajaan, kata persatuan profesion itu semalam, menamatkan krisis yang menyebabkan ratusan ribu pesakit hospital kerajaan terbiar tanpa rawatan.
Persatuan Pegawai Perubatan Kerajaan (GMOA), kesatuan untuk doktor terbesar negara itu menghentikan tugas pada Khamis bagi mendesak kerajaan menutup kolej perubatan swasta yang diwujudkan pada 2008 kerana kelemahan kualiti pendidikan yang ditawarkan.
Mogok itu menyebabkan ratusan ribu pesakit, terutama sekali golongan miskin yang mendapatkan rawatan percuma di hospital kerajaan tidak menerima rawatan sehingga GMOA menghentikan mogok itu tengahari Sabtu selepas perbincangan dengan Presiden Maithripala Sirisena.
“Presiden bersetuju untuk mengambil tindakan positif bagi meningkatkan pendidikan dan perkhidmatan perubatan,” kata jurucakap GMOA Samantha Ananda kepada wartawan di Colombo tanpa mengulas lanjut.
Walaupun kemudahan perubatan swasta masih dibuka semasa mogok, ramai pesakit tidak mampu membayar bil perubatan di sana, kata Pergerakan Perlindungan Hak Pengguna Kebangsaan.
Media tempatan juga melaporkan yang ada hospital yang menolak pesakit yang mahu menerima rawatan kecemasan.
Ketua kumpulan perlindungan pengguna memberitahu AFP, doktor yang terlibat dalam mogok itu perlu didakwa atas kesalahan jenayah sekiranya terdapat kematian kerana mogok itu.
Ratusan pelajar universiti awam menyerbu kementerian kesihatan Rabu lepas dan mendesak kerajaan untuk menutup kolej perubatan swasta.
Kerajaan bertegas yang ia tidak masuk campur dalam kebebasan rakyatnya untuk memilih pendidikan awam swasta.
Seorang pegawai GMOA berkata doktor sudah membantah kewujudan kolej itu pada 2008, tetapi tidak dapat melakukan protes kerana bimbangkan tindak balas rejim presiden sebelum ini, Mahinda Rajapakse. – AFP, 25 Jun, 2017.
Komen