DUA penyerang disyaki militan IS menikan seorang anggota polis sehingga mati di barat Indonesia, kata pihak berkuasa hari ini. Serangan terbaru itu ialah rentetan serangan yang menyasarkan pegawai kerajaan dan keselamatan di negara paling ramai penganut Islam di dunia itu.
Kedua penyerang itu melaungkan “Allahu Akbar” ketika mereka memasuki kawalan keselamatan di ibu pejabat polis Sumatra Utara di bandar Medan sebelum menikam mati seorang anggota, kata sumber.
Beberapa anggota polis melawan penyerang itu, membunuh seorang dan mencederakan seorang lagi pegawai.
“Kami percaya penyerang mempunyai kaitan dengan IS dan Bahrun Naim, kerana kita menjumpai bendera IS, buku dan CD berkaitan IS di rumah salah seorang penyerang,’ kata jurucakap polis Setyo Wasisto kepada AFP.
Bahrun Naim, rakyat Indonesia yang berjuang bersama IS di Syria didakwa mengarahkan rentetan serangan berdarah di negara itu sejak beberapa tahun lepas.
Ratusan rakyat Indonesia yang radikal pergi untuk berperang bersama IS dan Indonesia menyaksikan peningkatan serangan yang dilakukan militan.
Serangan terbaru ini berlaku beberapa jam sebelum solat sunat Aidilfitri diadakan, termasuklah di ibu pejabat polis Sumatra Utara sebagai sebahagian daripada sambutan yang menandakan berakhirnya Ramadan.
Polis sedang menyiasat sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan penangkapan tiga militan yang didakwa merancang untuk menyerang polis, tambah Wasisto.
Mei lepas serangan bom berani mati membunuh tiga anggota polis di stesyen bas di Jakarta, serangan terburuk di Indonesia sejak Januari 2016 apabila serangan yang didakwa dilakukan IS menyebabkan empat penyerang dan empat orang awam terbunuh di Jakarta.
Indonesia sudah lama bergelut dengan militan Islam dan diserang beberapa kali sejak 15 tahun lepas, termasuklah pengemboman Bali yang membunuh 202 orang.
Usaha berterusan untuk mengekang militan berjaya melemahkan rangkaian pengganas di negara itu tetapi kebangkitan IS mewujudkan ancaman baru kepada negara itu dalam menentang puak militan. – AFP, 25 Jun, 2017.
Komen