IVANKA Trump, anak perempuan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump perlu memberikan kenyataan dalam saman ke atas syarikatnya tahun ini yang didakwa meniru rekaan sebuah pengeluar kasut terkemuka Itali, putus seorang hakim di AS.
Dalam arahan mahkamah yang dikeluarkan Jumaat lalu, Hakim Daerah New York Katherine Forrest menolak permohonan Ivanka untuk dikecualikan daripada memberikan keterangan dalam kes itu kerana ia melibatkan masanya sebagai pegawai kanan Rumah Putih.
Walaupun “terdapat kekangan masa yang dihadapi Ms. Trump..ia juga benar yang dia terlibat secara langsung dalam kejadian ini ketika saman ini difailkan,” tulis Hakim Forrest dalam penghakiman tiga muka surat itu.
“Kerana itu, dia tidak boleh mengelakkan diri daripada memberikan keterangan dalam perkara ini.”
Mahkamah ini menghadkan masa keterangan selama dua jam sahaja, dan mengarahkan sesi itu perlu dilakukan di Washington Oktober tahun ini.
Jenama mewah Aquazzura tahun lepas memfailkan aduan persekutuan ke atas Trump dan pengeluarnya, Marc Fisher Footwear kerana pencabulan hak perdagangan pakaian, persaingan tidak adil dan amalan perdagangan yang menipu.
Syarikat Itali itu mendakwa Ivanka Trump “meniru hampir keseluruhan rekaannya” untuk kasut “Wild Thing Shoe”.
Pengeluar Ivanka menafikan dakwaan itu.
“Wild Thing” yang diterbitkan Aquazzura mendapat sambutan hebat, dipakai personaliti terkenal termasuklah Solange Knowles dan Kendall Jenner dijual di Amerika Syarikat dengan harga AS$785 (RM 3366).
Manakala kasut Ivanka Trump “Hettie” yang didakwa meniru rekaan syarikat Itali itu dijual dengan harga AS$145 (RM 621). – AFP, 25 Jun, 2017.
Komen