Messi bakal berkahwin di bandar paling merbahaya di Argentina


Kawalan keselamatan ditingkatkan di tempat perkahwinan Lionel Messi akan diadakan, hotel itu terletak bersempadan dengan kawasan kejiranan paling merbahaya di Argentina. – Gambar AFP, 25 Jun, 2017.

KESELAMATAN ialah keutamaan semua orang di Rosario, Argentina kini. Bandar tersebut ialah bandar kelahiran bintang bola sepak ternama dunia, Lionel Messi.

Jumaat nanti, Messi akan mengahwini Antonella Roccuzzo di sana dalam sambutan mewah yang turut dihadiri pemain terbaik dunia yang lain, tidak jauh daripada salah satu kawasan termiskin dan paling merbahaya negara itu.

Beberapa pemain utama kelab bola sepak popular dunia, FC Barcelona termasuklah Luis Suarez dan Neymar serta bintang lain Gerard Pique- yang ditemani pasangannya Shakira, penyanyi terkenal dunia- akan terbang ke bandar pelabuhan 300 kilomenter di utara Buenos Aires.

Kompleks hotel kasino City Center, tempat yang akan menempatkan tetamu dan upacara perkahwinan itu diadakan terletak bersempadan dengan kejiranan miskin dikenali sebagai tempat asal usul geng dadah merbahaya Los Monos.

“Perkahwinan Messi- termasuk kewujudan kasino di kejiranan itu- ialah metafor kepada kesenjangan yang wujud,” kata pegawai daerah Carlos Del Frade, penulis beberapa buku mengenai perdagangan dadah di Rosario, katanya kepada AFP.

Keganasan berkaitan dadah mengorbankan lebih 1,000 orang sejak lima tahun lepas di bandar pelabuhan itu, kata Del Frade.

Tahun lepas, kadar pembunuhan di Rosario dua kali ganda kadar purata negara iaitu 7 pembunuhan untuk 100,000 penduduk, menurut laporan kementerian keselamatan daerah Santa Fe.

Berasaskan sejarah, Rosario mempunyai kehadiran masyarakat kelas pekerja yang kuat dan keganasan masa kini banyak berpunca daripada pengangguran yang wujud di sana.

Ayah Messi, seorang pekerja besi di sana pada 1990an berhijrah dengan keluarganya ke Barcelona pada 2000, ketika krisis ekonomi buruk melanda Argentina.

Hari ini, kerajaan tempatan Rosario berkata yang mereka yakin dengan keselamatan untuk tetamu terkenal perkahwinan itu.

“Rosario bersiap sedia untuk perkahwinan itu,” kata pentabdir bandar Monica Fein kepada AFP.

Sehingga kini maklumat operasi keselamatan masih lagi tidak didedahkan. – AFP, 25 Jun, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen