Australia batal cadangan memorial MH370


Usaha mengesa pesawat MH370 sejak empat tahun lalu mencecah belanja sehingga RM600 juta.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2018

CADANGAN membina sebuah tapak memorial di Perth, Australia untuk memperingati penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang hilang dibatalkan selepas dibantah oleh waris.

Awal tahun ini, kerajaan Western Australia mengeluarkan tender untuk projek memorial bernilai AUS$125,000 (RM373,110) di kawasan pembangunan terkemuka Elizabeth Quay.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa MH370 merayu kepada perdana menteri dan kerajaan Western Australia untuk membatalkan cadangan itu kerana ia masih terlalu awal, dibuat di tempat yang tidak kena dan lebih mustahak, tidak merujuk mereka terlebih dahulu.

Dalam satu kenyataan hari ini, perdana menteri Western Australia Mark McGowan berkata kerajaan persekutuan dan negeri memutuskan menghormati pandangan waris.

“Demi kepentingan semua yang terlibat, adalah diputuskan memorial ini tidak diteruskan pada masa ini,” katanya dalam kenyataan itu, seperti dipetik akhbar The Australian.

“Kami yakin selepas berunding dengan keluarga waris di Australia, kita membuat keputusan yang betul.”

Pesawat Boeing 777 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 itu hilang tidak berapa lama selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Usaha mengesannya sejak empat tahun lalu mencecah belanja sehingga RM600 juta gagal menemui bangkai pesawat yang dipercayai terdampar di dasar Lautan Hindi.

Usaha mencari dihentikan bulan lepas setelah syarikat Ocean Infinity gagal mengesan pesawat semasa menyikat kawasan seluas 125,000 km persegi di Lautan Hindi.

Malaysia memeterai perjanjian “tidak jumpa, tidak bayar” dengan syarikat Amerika Syarikat itu pada Januari lepas untuk memulakan semula pencarian pesawat itu, setahun selepas pencarian rasmi dihentikan oleh Malaysia, Australia dan China.

Setakat ini tiada usaha pencarian yang akan dibuat.

Ketiga-tiga negara pada 2016 bersetuju pencarian rasmi akan dimulakan sekali lagi sekiranya ada bukti kukuh yang mengenal pasti lokasi bangkai pesawat.– 1 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen