Harapan tipis selamatkan 118 yang tertimbus di China


PASUKAN penyelamat menggali tanah semasa hari kedua misi menyelamat yang dianggap semakin pudar harapan untuk mencari 118 orang yang masih hilang selepas perkampungan mereka di selatan China ditimbus tanah runtuh.

Penyelamat setakat ini sudah menemui 15 mayat daripada timbunan tanah yang menimpa 62 buah rumah di Xinmo, perkampungan indah bersebelahan sungai di daerah Sinchuan.

Hanya tiga yang selamat ditemui-pasangan dan bayi sebulan mereka- selepas hujan lebat meruntuhkan gunung awal hari ini, kata pegawai.

Sekurang-kurangnya 118 lagi hilang, menurut kerajaan tempatan.

Agensi berita rasmi Xinhua memetik kenyataan pakar geologi yang mengatakan harapan menemui mangsa terselamat “sangat tipis”.

Qiao Dashi, salah seorang daripada tiga mangsa terselamat memberitahu yang dia bangun selepas jam 5.00 pagi untuk menukar lampin anaknya yang menangis ketika dia “mendengar bunyi bising dari belakang”.

“Rumah bergegar,” katanya kepada wartawan CCTV di hospital. “Ada batu di ruang tamu. Saya dan isteri mengambil bayi dan memanjat keluar.”

“Saya hanya cedera ringan. Saya okay. Tetapi psikologinya sangat sukar. Seluruh kampung, berpuluh keluarga semua tertimbus,” katanya lagi.

Penggali mengalihkan runtuhan dalam misi menyelamat yang diteruskan awal pagi ini. Hampir 3,000 pekerja dengan alat pengesan kehidupan menyertai misi menyelamat itu, lapor Xinhua.

Tanah runtuh itu menutup dua kilometer laluan sungai dan 1.6 kilometer jalan.

“Ia adalah tanah runtuh terbesar daerah ini sejak gempa bumi Wenchuan,” kata Wang Yongbo salah seorang pegawai yang bertanggungjawab dalam misi menyelamat merujuk kepada bencana alam yang membunuh 87,000 orang pada 2008 di bandar Sichuan.

Presiden Xi Jinping mendesak penyelamat untuk “mencari bersungguh-sungguh” dalam misi menyelamat itu dan menghalang lebih banyak bencana.

Sejumlah 100 penduduk yang tinggal berhampiran tanah runtuh itu sudah dipindahkan.

Tanah runtuh ialah bencana alam yang selalu berlaku di perkampungan pedalaman di China terutama sekali selepas hujan lebat.

Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh pada Januari lepas selepas tanah runtuh menimbusi sebuah hotel di tengah daerah Hubei.

Lebih daripada 70 orang pula terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di selatan pusat komersial Shenzhen pada Disember 2015, disebabkan pengurusan sisa yang lemah.

Salah satu kejadian tanah buruk paling dahsyat berlaku pada 1991 mengorbankan 216 orang di selatan daerah Yunnan. – AFP, 25 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen