Israel lancarkan serangan udara ke atas Syria


Sebahagian Bukit Golan dirampas Israel semasa Perang Enam Hari 1967. – Gambar AFP, 25 Jun, 2017.

PESAWAT Israel melakukan serangan ke atas Syria selepas 10 tembakan dilepaskan ke Bukit Golan, kata jurucakap tentera.

Tentera Udara Israel juga menyasarkan kereta kebal Syria di utara Bukit Golan, tambah jurucakap itu yang turut menyatakan tembakan dilepaskan Syria sebelum itu tidak mengenai sasaran.

“Kerana pelanggaran kedaulatan Israel tidak boleh diterima”, Israel membantah kehadiran Pasukan Pemerhati Gencatan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDOF) yang memantau genjatan senjata antara dua negara itu sejak 1974, tambahnya.

Tentera Israel menerbitkan video di Twitter menunjukkan apa yang dikatakan kedudukan senjata api dan kereta kebal yang disasarkan dari atas dan diletupkan.

Agensi berita Syria, SANA mengesahkan serangan itu, mengatakan yang ia membunuh sejumlah orang dan menyebabkan kerosakan harta benda.

SANA berkata yang “musuh Israel” menembak beberapa kali ke arah kawasan selatan Quneitra di daerah Golan dan menuduh Israel mempertahankan pemberontak yang memerangi tentera kerajaan.

Pemerhati Syria untuk Hak Asasi, sebuah kumpulan pemantau Britain yang melaporkan perang Syria yang sudah berlanjutan selama enam tahun mengatakan yang dua tentera Syria terbunuh dalam serangan Israel itu.

Juga dilaporkan yang pertempuran hebat berlaku antara tentera yang setia kepada Presiden Syria Bashar al-Assad dan pemberontak di Quneitra.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memberi amaran yang Israel akan menyerang mereka yang bertanggungjawab melakukan serangan daripada mana-mana pihak dalam konflik di Syria.

“Kami tidak akan menerima sebarang serangan ke atas kawasan kami dan kami akan bertindak balas kepadanya,” jurucakap Ofir Gendelman menerusi Twitternya.

Israel sudah melakukan beberapa serangan udara kepada Syria sejak perang saudara negara itu tercetus pada 2011, kebanyakkan menyasarkan konvoi tentera atau gudang senjata sekutunya Hezbollah di Lebanon yang merupakan penyokong kuat rejim Syria.

April lepas, Israel menembak jatuh “satu sasaran” di Golan, beberapa jam selepas Syria menuduhnya menyerang kedudukan tentera di lapangan terbang Damascus.

Israel tidak mengesahkan atau menafikan laporan serangan Damascus itu.

Israel merampas 1,200 kilometer persegi Bukit Golan dari Syria semasa Perang Enam Hari pada 1967 dalam tindakan yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Sebanyak 510 kilometer persegi lagi Bukit Golan berada di bawah kawalan Syria.

Bahagian Bukit Golan yang dikuasai Israel seringkali diserang dalam tindakan yang disifatkan kejadian tembakan rambang antara pasukan tentera yang setia kepada kerajaan Syria dan pemberontak.

Secara teknikalnya, Syria dan Israel masih berperang. – AFP, 25 Jun, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen