Lapan terbunuh, lima hilang dalam letupan lombong di Colombia


Letupan terbaru itu ialah rentetan kejadian kemalangan lombong yang seringkali berlaku di Colombia. – Gambar AFP, 25 Jun, 2017.

LIMA orang masih hilang selepas letupan di lombong arang batu haram di tengah Colombia yang sudahpun mengorbankan lapan orang.

Letupan itu berlaku di lombong di bandar Cucunuba di negeri Cundinamarca, sejauh 90 kilometer utara Bogota.

Presiden Juan Manuel Santos menyuarakan kesedihan dan solidariti bersama mangsa menerusi akaun Twitternya.

Agensi perlombongan negara Colombia berkata letupan itu ada kaitan dengan gas metana terkumpul tetapi puncanya masih belum dapat disahkan.

Berpengalaman lebih tiga dekad bekerja di bawah tanah, pelombong Edgar Liz,53 memberitahu AFP yang dia tidak pernah menyaksikan tragedi sedahsyat itu.

Anak lelakinya Andres Antonio Liz,35, antara yang dilaporkan hilang.  

Lebih daripada 35 pekerja penyelamat dan tujuh jurutera sedang berusaha mencari mereka yang masih hilang,menurut Unit Pengurusan Bencana Nasional (UNGRD).

Dalam lima bulan pertama tahun ini, 28 kecemasan lombong dilaporkan di Colombia, menurut agensi perlombongan negara, membunuh 23 orang dan mencederakan 33 yang lain. Hampir 60 peratus kejadian itu berlaku di lombong arang batu. – AFP, 25 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen