PENGHUNI daripada 650 flat di London dipindahkan hari ini berikutan kebimbangan keselamatan susulan tragedi kebakaran Menara Grenfell, tetapi 83 orang enggan meninggalkan kediaman mereka, menurut pegawai tempatan.
Empat daripada lima menara Estet Chalcots di Camden, utara London, dianggap tidak selamat selepas didapati menggunakan salutan keluli yang sama seperti di Grenfell, dikatakan menjadi faktor api merebak cepat pada minggu lalu yang mengakibatkan kematian 79 penduduk.
“Susulan lawatan dan pemeriksaan bersama secara terperinci, pasukan bomba berkata terdapat beberapa isu keselamatan kebakaran pada bangunan dan mencadangkan penduduk tidak boleh dibenarkan terus tinggal,” kata jurucakap pasukan bomba London.
Keputusan dramatik itu diikuti ujian segera eksterior menara, yang dipasang kontraktor yang sama dengan Menara Grenfell.
Penduduk dari lima menara Chalcots pada mulanya dipindahkan, tetapi satu daripada lima – Blashford – dianggap selamat dan penduduk dibenarkan pulang.
Penduduk lain berdepan kekecohan, dengan penginapan sementara yang ditawarkan di pusat rekreasi dan hotel tempatan, tetapi ada yang enggan berpindah.
Ketua Majlis Camden, Georgia Gould memberitahu BBC News yang 83 penghuni enggan meninggalkan tempat itu, sambil menambah keadaan “akan menjadi masalah kepada perkhidmatan bomba”.
Residen Renee Williams, 90, berkata dia dan jirannya tidak diberi amaran.
“Tiada pegawai datang dan memberitahu kami apa yang sedang berlaku, saya melihatnya di TV, jadi saya berkemas semalaman,” katanya kepada Persatuan Media.
“Tetapi sekarang mereka memberitahu kami akan keluar dari rumah selama dua hingga empat minggu akan datang. Ia tidak diurus dan kacau-bilau.”
Menakutkan
Pemimpin majlis Gould mengakui ia “masa yang menakutkan” tetapi bersumpah “untuk memastikan mereka tetap selamat.
“Hal lain kita akan uruskan kemudian,” katanya.
Pihak majlis menempah hotel di seluruh London dan kerja dijangka mengambil masa sehingga empat minggu.
Michelle Urquhart, yang menetap di menara Bray Chalcots Estate, berkata keadaan itu “menakutkan”.
“Saya tidak tahu ke mana kami akan pergi.
“Seorang lelaki berkata kepada saya ‘anda tidak boleh tinggal di sini malam ini’.”
Dalam perkembangan terkini, Camden Council berkata mereka memperoleh “ratusan katil hotel untuk penduduk Chalcots.” – AFP, 24 Jun, 2017.
Komen