Najib, sempena Syawal ini, pohonlah maaf


 DI kesempatan ini, Hisbah Center for Reform (Hisbah) bersama-sama rakyat Malaysia yang lain mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua.

Semoga Allah menerima ibadah kita di Ramadan ini dan menjadikan kita umat Islam yang lebih bertaqwa setelah berjaya melalui cabaran dan madrasah Ramadan.

Ramadan kali ini juga membawa cabaran tersendiri kepada kita umat Islam di Malaysia. Kita ditampilkan dengan kisah kerakusan kepada kemewahan yang luar biasa dan mengakibatkan jenayah rasuah (al-risywah) dan kecurian wang negara ( al-ghulul) berlaku di peringkat tertinggi kepimpinan negara yang diketuai seorang Islam dan kabinet majoriti Islam.

Hampir semua prinsip Islam di dalam urus tadbir negara dicabuli. Dan paling ketara ialah prinsip yang ditunjukkan  Rasulullah sendiri dalam hadis mahsyur, baginda bersumpah menghukum walaupun puteri kesayangan beliau sendiri Fatimah sekiranya di dapati bersalah mencuri.

Hari ini di Malaysia seluruh dunia tahu rakyat Malaysia bernama Jho Low menyamun harta negara ini berbillion ringgit. Dan seluruh dunia juga tahu sehingga hari ini Jho Low ini bukan sahaja tidak dihukum malah tidak ditangkap dan tidak disiasat pun.Waran tangkap terhadapnya pun tidak pernah dikeluarkan.

Justeru Ramadan ini membuktikan pelanggaran ketara dan jelas kepada perintah Allah dan Rasul dalam sudut menjaga harta negara (al-Mal).

Maruah negara dan agama ranap hanya kerana pemimpin kita sendiri rakus dengan kemewahan dan melanggar prinsip undang-undang negara dan prinsip Islam itu sendiri.

Hisbah menuntut Perdana Menteri Najib Razak, isteri dan anaknya yang terbabit dalam pelanggaran ini mengambil kesempatan Syawal memohon maaf kepada seluruh umat Islam di negara ini yang dimalukan oleh karenah mereka. – 24 Jun, 2017.

* Hisbah Center for Reform (Hisbah) ialah sebuah badan yg ditubuhkan untuk menyedarkan org ramai tentang rasuah. 

* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen