PEMANDU van warga Britain yang merempuh orang Islam berhampiran masjid di London minggu ini didakwa semalam dengan pembunuhan berkaitan keganasan dan cubaan membunuh, kata para pegawai.
Darren Osborne, 47, akan berdepan majistret di London tengah hari ini berhubung dakwaan itu, kata polis dan pendakwa raya.
Seorang lelaki meninggal dunia dan 11 lagi cedera dalam kejadian itu pada awal Isnin, berhampiran Masjid Finsbury Park di utara London.
Makram Ali, 51, meninggal dunia akibat beberapa kecederaan selepas serangan Isnin.
Dia rebah disebabkan masalah kaki dan dibantu jemaah yang selesai sembahyang terawih di masjid ketika van merempuhnya.
Makram datang ke Britain dari Bangladesh ketika berusia 10 tahun. Dia berkahwin dan mempunyai empat anak perempuan dan dua lelaki serta dua cucu.
Keluarganya mengatakan mereka “hancur luluh” dengan kematiannya. “Bapa kami adalah lelaki yang pendiam, lembut,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Serangan itu adalah keempat di Britain dalam tempoh tiga bulan, membunuh 36 orang dan mencederakan sekitar 200 orang.
Tiga serangan terdahulu semuanya berkaitan dengan pengganas. – 23 Jun, 2017.
Komen