Naib presiden ketiga belum ditentukan


Radzi Razak

Pemilihan di Umno bahagian Bakri ditangguhkan atas pelbagai masalah, dan pemilihan di 33 bahagian didapati tidak lengkap. kata Tengku Adnan Tengku Mansor, 1 Julai 2018.

UMNO tidak mengumumkan keputusan penuh pemilihan jawatan tertinggi pada malam ini disebabkan penangguhan pengundian dan proses pemilihan tidak lengkap.

Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansur berkata, pemilihan di Umno bahagian Bakri ditangguhkan atas pelbagai masalah, dan pemilihan di 33 bahagian didapati tidak lengkap.

“Bahagian Bakri ada permasalahan dilaporkan oleh pemantau kami. Jadi ada kemungkinan keputusan penuh ada 190 bahagian sahaja kerana pemilihan di sana telah ditangguh.

“Ada macam-macam masalah di bahagian Bakri ini kita masih tak ada laporan penuh dari pemantau kita,” kata beliau dalam sidang media di ibu pejabat Umno lewat malam tadi.

Tengku Adnan bagaimanapun mengesahkan kemenangan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden yang dengan mendapat 78 undi bahagian, menewaskan Khairy Jamaluddin yang mendapat 53 undi dan Tengku Razaleigh Hamzah (28).

Beliau turut mengesahkan kemenangan bergaya Muhammad Hassan untuk jawatan timbalan presiden dengan mendapat 110 undi bahagian, menewaskan Annuar Musa yang hanya meraih 47 undi setakat ini.

Sementara itu hanya dua naib presiden disahkan menang iaitu Ismail Sabri Yaakob dan Mahadzir Khalid yang masing-masing mendapat 106 dan 99 undi bahagian.

Persaingan untuk tempat ketiga jawatan tersebut masih disaingi rapat bekas menteri besar Johor Khaled Nordin dan bekas menteri kewangan, Johari Ghani.

Mereka masih berpeluang merebut tempat tersebut dengan undi daripada 34 bahagian yang masih belum diumumkan kerana jumlah diraih oleh kedua-duanya hanya berbeza lima undi.

“Ini yang kita keluarkan hari ini. Esok kita akan keluarkan keputusan penuh. Esok akan keluarkan satu kenyataan calon mana yang menang,” kata beliau.

Mengulas mengenai dakwaan Tengku Razaleigh bahawa terdapat calon presiden membeli undi, Tengku Adnan berkata jawatankuasa pemilihan masih belum menerima sebarang laporan.

“Tak ada terima laporan lagi (isu beli undi) kalau ada laporan kita siasat, ” kata beliau.

Malam tadi Tengku Razaleigh mendakwa mendengar khabar angin mengenai tindakan calon tertentu membeli undi pada pemilihan parti kali ini.

Veteran Umno itu membangkitkan dakwaan tersebut dalam satu majlis terdahulu pada malam tadi selepas Umno mengumumkan beliau gagal merebut jawatan presiden.

“Saya dengar berita yang tak berapa baik. Saya harap ini khabar angin dan tidak betul. Tapi saya dengar bahawa dalam pemilihan ini, banyak duit digunakan.

“Sepatutnya, kita sudah berhenti menggunakan wang dalam pemilihan parti. Ini adalah sogokan atau rasuah, membeli undi dan sebagainya.

“Kalau benar berlaku, dukacitalah kerana masa depan pimpinan parti ini akan bergantung pada duit juga (kerana amalan politik wang),” kata putera raja Kelantan itu lagi. –1 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Umno parti duit

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Muhammad Hanis Rahim · Ulasan