
Ahmad Zahid Hamidi disahkan menang jawatan presiden Umno untuk sesi 2018-2021.
Umno dalam pengumuman di Twitter turut mengesahkan Mohamad Hasan akan bergandingan dengan Zahid setelah menang jawatan nombor dua parti Melayu itu.
“Secara rasminya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah presiden Umno yang ketujuh.
“Selamat menjalankan tugas diucapkan kepada Datuk Seri. Demi agama, bangsa dan tanah air,” kata Umno dalam pengumuman itu.
Presiden pertama parti itu adalah Onn Jaafar, diikuti Tengku Abdul Rahman, Abdul Razak Hussein, Hussien Onn, Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan bekas presiden terbaharu Najib Razak.
Sumber Umni menyebut, Zahid memenangi 91 undi bahagian, manakala Khairy Jamaluddin di tempat kedua dengan 72 undi dan Tengku Razaleigh Hamzah pula mendapat hanya 28 undi.
Mohamad Hasan mendapat 103 undi bahagian setakat ini manakala pencabarnya Annuar Musa dapat 88 undi.
Bagi pertandingan naib presiden pula, undi tertinggi setakat ini diperolehi Ismail Sabri Yaakob (57), diikuti Johari Abdul Ghani (49) dan Mohamed Khaled Nordin (47).
Angka berkenaan disiarkan di Twitter oleh sumber Umno.
Ini merupakan persaingan presiden pertama Umno sejak 1987, sebelum parti itu diharamkan dan ditubuhkan kembali setahun selepas itu.
Umno hanya menang 54 kerusi dalam pilihan raya umum 9 Mei, berbanding 88 kerusi pada pilihan raya sebelumnya.
Parti gabungan BN yang didominasinya juga kalah buat pertama kali sejak kemerdekaan negara pada 1957. – 30 Jun, 2018.
Komen