Operasi menyelamat 12 remaja terperangkap di Thailand diperhebat


Lebih 1,000 anggota pasukan penyelamat terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran itu termasuk unit penyelam elit tentera laut Thailand. – Gambar EPA, 30 Jun, 2018.

PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) tempatan dan antarabangsa menggiatkan usaha untuk mengesan 12 remaja lelaki dan seorang jurulatih bola sepak mereka yang hilang di dalam sebuah gua yang dilanda banjir di utara Thailand semingu lepas.

Lebih 1,000 anggota pasukan penyelamat terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran itu termasuk unit penyelam elit tentera laut Thailand.

Memandangkan tempoh kehilangan mereka sudah begitu lama, usaha menyelamat remaja berkenaan serta jurulatih mereka yang berusia 26 tahun kini semakin mendesak.

Semalam, Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha melawat Gua Tham Luang, yang terletak di daerah Mae Sai dalam wilayah Chiang Rai, untuk memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa dan bagi melihat sendiri kesulitan yang dihadapi anggota SAR untuk mengesan remaja dan jurulatih mereka.

“Saya meminta setiap daripada mereka supaya tidak berputus asa dan yakin bahawa remaja terlibat dalam keadaan selamat. Para pegawai akan dapat membantu kesemua mereka,” kata Prayut yang dipetik berkata demikian oleh media tempatan ketika beliau bertemau dengan keluarga mangsa yang menunggu di luar gua berkenaan sambil berdoa agar mendapat berita baik daripada penyelamat.

Prayut yang baru pulang ke tanah air daripada lawatan kerja ke beberapa negara Eropah, turut menyampaikan rasa bimbang Raja Maha Vajiralongkorn tentang kejadian itu.

Kesemua remaja berusia 11 hingga 16 tahun itu serta jurulatih mereka adalah dari Akademi Bola Sepak Mu Pa dan mereka memasuki gua berkenaan pada Sabtu lepas.         

Apabila mereka tidak kembali ke rumah, keluarga masing-masing menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan tentang perkara itu.

Kompleks gua itu, yang disifatkan pakar sebagai yang keempat terbesar di Thailand, terletak berhampiran sempadan negara ini dengan Myanmar.

Ketika operasi rumit itu diteruskan, semakin ramai pakar asing tiba di Thailand untuk membantu mengesan mereka yang hilang dengan China merupakan negara terbaharu yang menghantar pasukan menyelamat berserta kelengkapan khas termasuk robot untuk melakukan pencarian di dalam air.

Mereka akan menyertai pasukan penyelamat pelbagai negara yang semakin bertambah jumlahnya, termasuk dari Markas Pasifik Amerika Syarikat (PACOM), pakar gua dari United Kingdom, Jepun, Laos dan Myanmar.

Operasi menyelamat itu yang menggunakan pelbagai peralatan termasuk kenderaan dasar laut kawalan jauh (ROV) dan drone dilengkapi pengesan haba untuk mencari mangsa, tetapi hingga kini belum mencapai sebarang kemajuan.

Para penyelam daripada pasukan elit tentera laut juga gagal mencapai sebarang kejayaan akibat keadaan air yang keruh dan arus deras di dalam gua.

Para penyelamat turut  memasang lampu dan menggunakan  beberapa pam berkuasa tinggi  bagi mengurangkan air di dalam gua berkenaan untuk memudahkan usaha mencari dan menyelamat, tetapi musim hujan ketika ini memberi cabaran besar kepada mereka.

Ketika operasi menyelamat dipergiatkan, ahli geologi mula menggerudi dua lubang di bahagian atas  gua itu yang dirujuk para pakar sebagai “Pattaya Beach”, iaitu sebuah kawasan kering di dalam gua berkenaan, yang mereka percaya tempat mangsa terkandas apabila paras banjir semakin tinggi.

Pakar juga mencari laluan masuk alternatif ke “Monk’s Series”, satu kawasan kering di dalam gua itu yang mereka percaya merupakan tempat mangsa mungkin berada.

Sementara itu, satu pasukan mencari diketuai pakar gua dari Britain yang menggunakan maklumat topografi, menemukan satu lubang di bahagian atas gua berkenaan, yang mereka percaya berkemungkinan merupakan laluan alternatif terbaik untuk masuk ke gua itu untuk sampai kepada mangsa. – Bernama, 30 Jun, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen