PESAWAT perisik tentera Australia akan memulakan misi penerbangan di selatan Filipina bagi membantu pertempuran terhadap militan Islam yang mengganas di kawasan itu, kata kerajaan hari ini.
Pejuang yang ada kaitan dengan kumpulan IS itu memerangi pasukan tentera sejak sebulan lalu di sekitar bandar Marawi di wilayah Mindanao dalam satu konflik yang mengorbankan ratusan nyawa.
Canberra, yang menjalinkan program kerjasama lanjutan dengan Manila berkata dua pesawat AP-3C Orion berteknologi akan memberikan sokongan pengawasan kepada tentera Filipina.
“Ancaman keganasan di wilayah itu khusus daripada IS dan pejuang asing, menjadi ancaman langsung kepada Australia dan kepentingan kami,” kata Menteri Pertahanan Marise Payne.
Pesawat AP-3C Orion biasanya melakukan rondaan di sempadan maritim dan memainkan peranan penting dalam mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang dipercayai terhempas di kawasan terpencil di Lautan Hindi berhampiran Australia pada 2014.
Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di Mindanao, yang mempunyai 20 juta penduduk, pada 23 Mei selepas pengganas mengibarkan bendera IS merentasi Marawi.
Serangan mereka terhadap kota itu mencetuskan peperangan bandar kali pertama, di mana Duterte berkata ia sebahagian kempen IS untuk menubuhkan pangkalan di Mindanao.
Peperangan itu menyebabkan Marawi, bandar Islam paling penting di Filipina, musnah teruk. – AFP, 23 Jun, 2017.
Komen