Gencatan senjata tamat, Afghanistan kembali berperang


Gencatan senjata sempena Ramadan dan Aidilfitri menimbulkan suasana tidak terjangka apabila militan Taliban dan tentera Afghanistan berpelukan dan beramah mesra, mencetuskan harapan wujudnya peluang untuk rundingan damai negara yang sudah 17 tahun berkrisis itu. – Gambar EPA, 30 Jun, 2018.

PASUKAN keselamatan Afghanistan menyambung semula operasi serangan pada Sabtu selepas Presiden Ashraf Ghani mengumumkan berakhirnya gencatan senjata dengan Taliban.

Ghani berkata gencatan senjata itu yang berlangsung selama 18 hari selepas dilanjutkan sekali dan bertindan dengan gencatan senjata tiga hari dilakukan Taliban sempena Aidilfitri, merupakan “98% berjaya”.

“Gencatan senjata sudah tamat. Pasukan keselamatan dan tentera Afghan dibenarkan menyambung semula operasi ketenteraan mereka,” kata Ghani kepada wartawan.

Hari tanpa pertempuran dalam kawasan konflik yang sudah berlanjutan 17 tahun itu mencetuskan persekitaran ceria dalam negara yang tidak henti dilanda perang itu.

Pejuang Taliban dan pasukan keselamatan tanpa sedar meraikan “cuti” itu yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadan, dengan berpelukan dan bergambar sesama mereka.

Militan juga disambut orang awam yang lega, yang sejak sekian lama berada dalam negara perang mula menyimpan harapan rundingan damai akan berlaku lagi.

Ghani berkata gencatan senjata menunjukkan majoriti pemberontak mahukan keamanan dan “tiba masanya Taliban memberikan maklum balas yang positif”.

“Saya sedia melanjutkan gencatan senjata bila-bila masa apabila Taliban bersedia,” katanya pada sidang media.

Tetapi situasi pejuang mereka secara terbuka bergaul dengan pasukan keselamatan dan orang awam pada Aidilfitri menimbulkan kebimbangan pemimpin tinggi Taliban yang mengarahkan mereka kembali ke kawasan masing-masing.

Pada Selasa, Taliban berjanji akan meneruskan perjuangan berdarah mereka menentang kerajaan dan pihak asing tanpa mempedulikan jumlah korban orang awam yang meningkat.

Pemberontak kembali ke medan perang minggu lepas selepas menolak permohonan kerajaan melanjutkan gencatan senjata, dengan melancarkan serangan di seluruh negara menyebabkan puluhan cedera atau terbunuh.

Keganasan terbaru ini menghapuskan impian rundingan damai apabila Taliban enggan tunduk kepada tekanan untuk menyerah sehingga pihak asing diusir keluar dari Afghanistan.

Gencatan senjata terbaru yang berlaku ini tidak diterima oleh Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) yang walaupun kecil jumlahnya tetapi merbahaya di Afghanistan. Mereka melancarkan dua serangan maut ketika Aidilfitri lalu. – AFP, 30 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen