Biar parti dihumban, Najib tetap selamatkan jenamanya


Najib Razak akhirnya mengaku bahawa beliau patut memikul sebahagian daripada beban kekalahan Barisan Nasional (BN). – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2018.

MENAKJUBKAN.

Amat menakjubkan sekali kerana bekas perdana menteri Najib Razak hanya mampu menyatakan satu bentuk pengakuan bahawa beliau patut memikul sebahagian daripada beban kekalahan Barisan Nasional (BN).

Selepas sekian lama bermuhasabah. Selepas berkajang-kajang hasil kajian yang menuding jari ke atasnya atas kekalahan BN diterima.

Dan selepas melihat betapa dasar dan skandalnya menyebabkan parti yang dicetuskan bapanya terhumban ke jurang kehampaan.

Amat menakjubkan sekali kerana Najib hanya dapat menyatakan satu bentuk pengakuan bahawa beliau patut memikul sebahagian daripada beban kekalahan BN.

Inilah yang disebutnya dalam mesyuarat Umno Pekan hari ini: “Walaupun saya terima tanggungjawab moral kekalahan ini dengan meletakkan jawatan, tetapi hakikatnya kelemahan dan kepincangan berlaku berlaku semua peringkat dalam parti.

“Saya yang menanggung, yang lain semuanya senyap sepi. Tetapi tak mengapalah, mereka tidak perlu letak jawatan, kalau semua letak jawatan, lumpuhlah.” 

Jika diteliti dengan lebih dekat, kenyataan itu bukanlah pengakuan kesalahan, tetapi lebih kepada memenuhi kepentingan peribadinya. Beliau masih cuba menonjolkan diri sebagai mangsa keadaan.

Beliau masih ingin dikenang sebagai wira Umno yang terkorban untuk partinya. Dalam fikirannya, beliau berkorban demi Umno.

Ada yang melihat dengan pandangan murni bahawa Najib masih dalam penafian dan tidak dapat menerima kejadian pada 9 Mei. Dan beliau tidak dapat menerima bahawa skandal 1MDB dan kemewahan dikecapi beliau dan isteri menyebabkan rakyat menolak BN.

Tapi Najib Razak bukan dalam penafian. Sejak awal lagi, segala-galanya adalah mengenai dirinya. Beliau taksub dengan usaha mempromosi, memupuk, dan kini mempertahankan jenama Najib.

Beliau pantas sekali mendabik dada atas kejayaan memperbaiki hubungan dengan pentadbiran Trum, Beijing dan Timur Tengah.

Malah, apabila Malaysia menunjukkan pencapaian baik di Sukan SEA, pegawainya mahu beliau mendapat pujian.

Tapi jangan cuba kaitkan namanya dengan kegagalan. Beliau tidak mahu dikaitkan dengan perkara negatif itu.

Amat menakjubkan kerana walaupun sudah kalah, beliau tidak dapat bersikap mulia dan memohon maaf kepada parti dan rakyat Malaysia. – 30 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen