Kerajaan perlu bertindak tegas ke atas perkahwinan kanak-kanak


HARI ini kita digemparkan dengan satu lagi berita perkahwinan kanak-kanak yang tersebar di laman media sosial di mana seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun telah dikahwinkan dengan seorang lelaki berusia 40 tahun yang telahpun beristeri dua. Perkahwinan yang dijalankan di Thailand itu dikatakan atas faktor kanak-kanak berusia 11 tahun itu bercinta dengan lelaki dewasa berusia 40 tahun tersebut.

Ini yang membimbangkan kita. Perkahwinan kanak-kanak ini menjadi amalan berleluasa di Malaysia. Iya, berdasarkan undang-undang kebanyakkan Enakmen-Enakmen Negeri individu lelaki berusia 18 tahun ke bawah dan perempuan berusia 16 tahun ke bawah boleh berkahwin dengan syarat mendapat kebenaran daripada Hakim Mahkamah Syariah.

Tetapi adakah ini bermakna kita patut bersetuju sahaja dengan perkahwinan kanak-kanak ini? Kanak-kanak ini yang berusia 11 tahun, secara logiknya adalah kanak-kanak yang masih bersekolah rendah, darjah lima. Seawal usia ini kanak-kanak ini sepatutnya masih di dalam persekitaran bermain bersama-sama rakan-rakan dan bukan diserahkan untuk satu liabiliti dan tanggungjawab dalam perkahwinan. Kehidupan susah dan tidak mampu bukanlah satu alasan untuk ibu bapa membenarkan anak-anak bawah umur ini diserahkan kepada lelaki asing dalam satu ikatan perkahwinan.

Sudah tentu perkahwinan menuntut satu tanggungjawab dan komitmen yang besar dan apakah kanak-kanak berusia 11 boleh memahami tanggungjawab dan perkahwinan ini?

Adakah adil untuk kanak-kanak ini dibebankan dengan tanggungjawab dan komitmen perkahwinan pada usia yang beliau masih seorang kanak-kanak?

Adakah secara moralitinya, ini tindakan yang betul mengahwinkan seorang kanak-kanak bawah umur yang masih berstatus kanak-kanak dengan seorang lelaki dewasa yang bukan sahaja dewasa tetapi sudah mempunyai dua isteri?

Sekalipun lelaki dewasa ini bujang dan belum berkahwin, ianya tetapi sesuatu yang salah dan tidak bermoral untuk menyerahkan seorang kanak-kanak kepada lelaki asing dalam satu ikatan perkahwinan.

Tidak kira apa bangsa dan agama sekalipun, perkahwinan kanak-kanak ini tidak sepatutnya diteruskan dan dibenarkan. Selain tanggungjawab di dalam perkahwinan, apakah hak kanak-kanak ini akan dilindungi dan terbela?

Dan sekiranya kita memandang pedophile itu sebagai sesuatu yang salah dan jijik, apa pula bezanya dengan seorang lelaki dewasa yang mengahwini seorang kanak-kanak berusia 11 tahun ini?

Hanya dengan mengahwinkan kanak-kanak ini dengan lelaki tersebut, sudah cukup untuk mencuci dan membersihkan tindakannya?

Pada usia seperti ini, kanak-kanak ini seharusnya diberikan keadilan yang terbela untuk menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak normal, merasa selamat dan tidak terdedah dengan permasalahan perkahwinan di bawah umur. Apatah lagi perkahwinan ini telah dilangsungkan di negara lain, Thailand. Apakah nasib kanak-kanak ini apabila dewasa?

Sekiranya sesuatu terjadi pada masa akan datang, apakah hak kanak-kanak ini akan terbela? Apa lagi dengan kemungkinan statusnya sebagai seorang bukan warganegara, sekiranya terjadi apa-apa, bagaimana dia boleh memperjuangkan hak dan mencari perlindungan nanti? Bagaimana pula sekiranya timbul isu-isu dokumentasi sekiranya dia melahirkan anak kelak? Dan sekiranya sehingga dia perlu melahirkan anak, adakah adil untuk kanak-kanak seusianya memikul bebanan melahirkan anak dan membesarkan anak pada ketika dia sendiri masih berstatus kanak-kanak?

Ya, ianya sesuatu yang tidak bermoral, tidak adil kepada kanak-kanak tersebut dan salah. Ibu bapa sepatutnya melindungi kanak-kanak ini dan bukan dengan mudah menyerahkan kanak-kanak ini kepada lelaki asing untuk dikahwinkan.

Sudah sampai masanya, kita semua buka mata dan cakna dengan isu perkahwinan kanak-kanak ini yang pada akhirnya apa bezanya dengan sorang pedophile? Undang-undang yang membenarkan perkahwinan kanak-kanak perlu diteliti dan diubah. Hak kanak-kanak dalam isu perkahwinan kanak-kanak perlu dibela dan dilindungi.

Saya berharap dan menyeru supaya pihak kerajaan pusat dan kementerian yang bertanggungjawab dapat meneliti isu ini, mengambil tindakan segera dan meneliti undang-undang berkaitan, baik ke atas penganut agama Islam ataupun agama lain-lain supaya tidak lagi membenarkan perkahwinan anak-anak bawah umur ini! – 30 Jun, 2018.

*Jamaliah Jamaluddin adalah Adun Bandar Utama.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen