Umno silap caci, hina Dr Mahathir, kata Khaled Nordin


Radzi Razak

Umno sudah tersilap 'mencaci dan menghina' Dr Mahathir Mohamad semasa Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, sehingga bekas presiden Umno dapat sokongan rakyat untuk diangkat sekali lagi jadi perdana menteri, kata pemimpin kanan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2018.

UMNO sudah tersilap “mencaci dan menghina” Dr Mahathir Mohamad semasa Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, sehingga bekas presiden Umno dapat sokongan rakyat untuk diangkat sekali lagi jadi perdana menteri, kata pemimpin kanan Umno.

Pengerusi Umno Johor, Khaled Nordin mengaku serangan Umno ke atas Dr Mahathir yang keterlaluan menyebabkan rakyat semakin menolak Umno dan kerajaan Barisan Nasional.

“Kita ambil jalan mudah. Kita caci dan hina beliau, termasuk ungkit dari negara mana beliau datang. Segala macam gelaran kita gunakan, termasuklah mempersendakan keturunannya.

“Kita lupa batas moral. Kita lupa bahawa yang kita cerca itu, suatu ketika merupakan negarawan dan pemimpin kita,” katanya berucap pada mesyuarat Umno Bahagian Pasir Gudang di Pasir Gudang, Johor.

Menjelang PRU14 yang lalu, bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi menuduh Dr Mahathir memperalatkan orang Melayu untuk memajukan politiknya meskipun beliau berketurunan India.

Zahid yang ketika itu Menteri Dalam Negeri malah mendakwa ada bukti sah mengenai hal itu berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara, agensi di bawah kementeriannya.

Kenyataan Zahid ittu kemudian jadi polemik, termasuk pada suatu ketika meningkatkan kecaman penyokong BN terhadap Dr Mahathir, yang kini perdana menteri selepas Pakatan Harapan menang PRU14.

“Kerana sikap keras dan sombong kitalah, rakyat jadi semakin marah kepada kita. Kerana sikap keras dan sombong kita jugalah, akhirnya Tun Mahathir mendapat ruang dan peluang untuk kembali kepada rakyat dan diberikan sanjungan serta kepercayaan untuk mengemudi semula Malaysia,” kata Khaled.

Khaled yang juga calon Naib Presiden Umno pada pemilihan parti itu hari ini bagaimanapun menegaskan kenyataannya ini bukanlah bermaksud beliau 100 peratus menyokong tindakan Dr Mahathir keluar Umno dan menentang parti Melayu yang pernah dipimpinnya itu.

Kajian Merdeka Center yang dikeluarkan semalam bagaimanapun mendapati ahli tidak percaya Dr Mahathir punca Umno dan Barisan Nasional kalah dalam PRU14, sebaliknya mereka kalah kerana rakyat sudah menolak kepimpinan Najib Razak.

Umno yang menang 88 kerusi pada PRU13 hanya mampu menang 54 kerusi pada pilihan raya umum 9 Mei lalu. Jumlah kerusi itu bagaimanapun kini tinggal 52 apabila dua wakil rakyatnya, ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal keluar parti. – 30 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kaedah tersebut sebenarnya tidak digemari rakyat terutamanya kaum Melayu dan ahli UMNO sendiri; seterusnya mereka menterjemahkan dalam PRU14. UMNO kena terima hakikat dan berubahlah supaya dapat menjadi pembangkang yang profesional dan matang lagi kompetitif kepada kerajaan Pakatan Harapan.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan