PERSATUAN Anak Peneroka Felda Kebangsaan(Anak) mengingatkan Perdana Menteri Najib Razak agar tidak mengulangi kesilapan besar dengan melantik Isa Samad sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat(SPAD)
Sejarah sudah merakamkan bagaimana penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) di Bursa Malaysia dan perlantikan Isa sebagai pengerusi Felda dan FGV adalah suatu malapetaka yang membawa bencana kepada kehidupan masyarakat Felda.
Pelbagai pihak berpandangan mengenai ketidakwajaran penyenaraian FGV di Bursa Malaysia dan membantah keras perlantikan Isa sebagai pengerusi Felda dan FGV.
Perdana menteri bukan sahaja mengabaikan segala bantahan, tetapi “mengharamjadahkan” peneroka yang menentang penyenaraian FGV di Bursa Malaysia.
Terkini, Isa dan isteri dipanggil memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama empat jam berhubung siasatan mengenai FGV.
Jika diandaikan, Isa didakwa di mahkamah oleh SPRM, bukankah ia aib perdana menteri?
Anak tidak pasti apa istimewanya Isa, pada ketika intergritinya sangat dipersoalkan oleh masyarakat Malaysia; hari yang sama beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi FGV, lantas dilantik pula sebagai pengerusi SPAD!
Justeru, Anak merayu agar ditarik balik serta-merta pelantikan Isa. Biarlah beliau menumpukan sepenuh perhatian sebagai ahli Parlimen Jempol, di mana pengundi dan masyarakat di sana yang rata-rata warga Felda sangat memerlukan perhatian beliau.
Semoga perdana menteri mengambil iktibar daripada krisis dan kemelut yang menghakis keyakinan masyarakat Felda terhadap kerajaan. – 22 Jun, 2017.
* Mazlan Aliman adalah presiden Anak.
* Ini ialah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.
Komen