Usahawan Jepun gagal lancar roket yang dibiayai sendiri


Interstellar Technologies, yang diasaskan pencipta Livedoor - penyedia perkhidmatan internet terkenal - Takafumi Horie, melancarkan roket tanpa pemandu, MOMO-2, sekitar jam 5:30 pagi waktu tempatan (2030 GMT Jumaat) dari tapak ujian di Taiki, selatan Hokkaido. – Gambar AFP, 30 Jun, 2018.

ROKET yang dibangunkan seorang usahawan bebas dan pernah didakwa kerana menipu meletup sebaik sahaja dilancarkan pada Sabtu, sekali gus mengagalkan usahanya untuk menghantar roket pertama yang dibiayai secara persendirian ke angkasa lepas.

Interstellar Technologies, yang diasaskan pencipta Livedoor - penyedia perkhidmatan internet terkenal - Takafumi Horie, melancarkan roket tanpa pemandu, MOMO-2, sekitar jam 5:30 pagi waktu tempatan (2030 GMT Jumaat) dari tapak ujian di Taiki, selatan Hokkaido.

Namun rakaman televisyen menunjukkan roket setinggi 10 meter itu menjunam semula ke pad pelancar beberapa saat selepas ia berlepas dan terbakar.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian letupan tersebut.

Pelancaran itu sepatutnya menyaksikan roket yang membawa alatan pencerap dihantar ke ketinggian melebihi 100 kilometer.

Kegagalan itu berikutan masalah yang berlaku sebelum ini pada Julai tahun lalu, apabila jurutera hilang hubungan dengan sebuah roket seminit selepas ia dilancarkan.

Interstellar Technologies berkata ia akan meneruskan program pembangunan roketnya selepas analisis ke atas kegagalan tersebut siap.  – AFP, 30 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen