Debat presiden Umno: KJ menonjol, Ku Li steady, Zahid penat


Radzi Razak Mohd Farhan Darwis

Debat Presiden Umno menampilkan tiga calon merebut jawatan presiden parti Melayu itu dalam pemilihan esok, (dari kiri) Khairy Jamaluddin, Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah. – Gambar Facebook, 29 Jun, 2018.

PROGRAM bual bicara bersama tiga calon presiden Umno yang dinamakan debat Presiden Umno oleh Astro Awani memperlihatkan ketokohan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar bagaimanapun berkata secara realitinya, idea reformasi parti yang digarap ahli Parlimen Rembau itu dilihat sukar untuk dilakukan parti dalam tempoh terdekat dan mungkin tidak dapat diterima perwakilan dalam pengundian esok.

“Khairy dalam debat tadi berjaya menangkap tumpuan penonton, tetapi isi yang dikemukakan terlalu jauh daripada norma pengamalan dalam Umno.

“Jadi idea reform yang dicadangkan itu sukar diterima untuk dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hisommudin berkata walaupun Tengku Razaleigh Hamzah nampak tenang, pemangku tugas presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilihat mewakili golongan status quo kepimpinan parti itu yang kini berdepan siasatan berikutan skandal 1MDB bekas presidennya Najib Razak.

“Saya nampak dalam aspek kerana terkait dengan Najib, Zahid nampak defensif. Itu dilema incumbent yang terpaksa bertahan bebanan yang ditinggalkan oleh kepimpinan terdahulu dan Najib,” katanya.

Penganalisis kanan Firma Pengurusan Risiko Vriens and Partners Adib Zalkapli turut bersetuju dan menganggap idea Khairy untuk “melahirkan” 100 Asyraf Wajdi – ketua baharu Pemuda Umno sebagai pelapis dan idola anak muda sebagai idea yang mengagumkan.

“Untuk beberapa dekad ini, Umno berjalan sebagai sebuah kelab yang eksklusif atau jaringan ketuanan.

“Dengan usaha pengambilan pimpinan baharu seperti dicadangkan Khairy, sistem jaringan ketuanan ini boleh runtuh,” katanya.

Adib berkata lawan Khairy, Tengku Razaleigh dilihat sebagai seorang “gentleman” tua yang lahir daripada zaman berbeza.

“Saya tak lihat Umno mahu seorang ‘old gentleman’ seperti Ku Li memimpin mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengasas badan hak asasi manusia Rights Yusmadi Yusof yang juga bekas ahli Parlimen Balik Pulau tidak tertarik dengan debat tersebut yang disifatkan sebagai program “sembang hari raya antara anak, ayah dan datuk”.

“(Debat) ini merupakan berita buruk bagi Umno. Ini menunjukkan kegagalan pimpinan mereka yang tak dapat berdebat. Sesuatu yang drastik diperlukan. Ini bukan debat, ini perbualan hari raya.

“Bagaimanapun ia sesuatu yang positif bagi negara apabila mereka muncul di kaca TV menerangkan polisi yang dibawa. Tetapi mereka tak cakap soal rakyat, cuma soal kepimpinan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Labis Mohd Azahar Ibrahim berkata walaupun secara langsung, debat berkenaan tidak menggambarkan suasana sebenar mengikut sokongan bahagian yang kebanyakannya sudah membuat keputusan.

“Semua ahli dapat menilai calon presiden. Khairy banyak kepada orang muda. Zahid, (umur) pertengahan dan Ku Li pada veteran.

“Tetapi ia tidak menggambarkan sokongan perwakilan kepada perbezaan ikut generasi. Mereka sudah pun menilai siapa yang boleh ke depan untuk Umno,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hari ini, satu rumusan kajian lapangan yang dijalankan selama lapan hari oleh Ilham Center dengan jumlah responden 581 perwakilan Umno menunjukkan Zahid mendapat sokongan 51% diikuti Tengku Razaleigh di tahap 35% dan Khairy mendapat 6%. Sementara 8% bahagian lagi dilihat masih samar sokongannya. – 29 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • debat telah pun selesai, makanya, ahli2 boleh lah memilih presiden baharu mereka. pastikan yg ikhlas dan boleh membawa pembaharuan kepada parti. jangan pisang berbuah 2 kali.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan