SEORANG lelaki maut dipijak lima ekor gajah liar yang naik minyak berhampiran sebuah estet hari ini, dalam kejadian terbaru membabitkan haiwan jenis itu.
Masaree Samae, 40, terbunuh awal pagi tadi di selatan wilayah Yala yang turut menempatkan ratusan ladang getah.
Kapten Polis Sathit Woonchoom berkata mangsa sedang dalam perjalanan untuk menoreh getah dengan menaiki motosikal sebelum dikelilingi lima ekor gajah liar.
“Bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian belakang badan dan kepala,” katanya.
Beliau berkata bunyi gajah turut didengari dari semak berhampiran apabila di lokasi ketika melakukan siasatan.
Menurut Pusat Pemuliharaan Gajah Thailand, jumlah gajah liar Thailand menurun kepada 2,700 daripada 100,000 pada 1850.
Penebangan hutan dan kehilangan habitat secara tidak terkawal menyebabkan haiwan itu semakin dekat dengan manusia, dan berlakunya kejadian tidak diingini, termasuk kematian.
November tahun lalu, seekor gajah seberat lima tan yang sering muncul dalam filem dan iklan, memijak pemiliknya sehingga mati di Chiang Mai selepas berada dalam keadaan agresif untuk mengawan. – AFP, 29 Jun, 2018.
Komen