SEORANG juruterbang warga Malaysia disabitkan bersalah merogol seorang wanita dan mengugut mangsa dengan pisau di Perth, Australia, dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun, lapor Australian Associated Press (AAP).
Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman minimum 11 tahun sebelum layak mendapatkan parol.
Alfred Gerard Eravelly, 50, bapa dua anak didapati bersalah pada April tahun ini terhadap lima pertuduhan termasuk rogol, merompak, penahanan tidak sah dan mencederakan selepas memecah masuk ke dalam rumah mangsa, 21 tahun lalu di kawasan pinggir bandar Scarborough, Perth dan melakukan serangan seksual berulang kali terhadap wanita itu.
Ketika melakukan kesalahan itu, tertuduh ialah juruterbang pelatih, tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.
Semasa perbicaraan, Mahkamah Daerah Australia Barat diberitahu bagaimana pada 9 Mac, 1996, dengan memakai topeng, Eravelly memotong skrin penutup tingkat di bilik mandi mangsa, memanjat masuk dan menyerangnya beberapa kali.
Menurut Eravelly, dia dan mangsa sebelum itu pernah bertemu janji dan dia pernah memeras ugut wang daripada wanita itu dengan mengugut akan memberitahu teman lelakinya tentang hubungan mereka.
Tertuduh turut mendakwa rogol itu adalah sebahagian daripada permainan seks mereka.
Eravelly pulang ke Malaysia tidak lama selepas melakukan serangan itu, dan hanya ditangkap ketika dia tiba di Sydney pada Februari 2016.
Di mahkamah, DNA miliknya yang didedahkan ditemui di tempat kejadian, disimpan di pangkalan data antarabangsa dan amat penting dalam memastikan sabitan berjaya dilakukan.
Mahkamah juga diberitahu bagaimana pada 2000, dia melakukan kesalahan keganasan dan mengintai di Florida, Amerika Syarikat. – 22 Jun, 2017.
Komen