SEKURANG-KURANGNYA lima maut apabila seorang lelaki melepaskan tembakan secara rambang di dalam pejabat akhbar Capital Gazette, yang berpangkalan di Annapolis, semalam.
Polis berkata suspek yang bersenjata senapang atau senapang patah itu lelaki kulit putih dan ditahan untuk disoal siasat.
Suspek dipercayai bertindak bersendirian.
Saksi yang juga wartawan akhbar harian terbabit, Phil David dalam mesej di Twitter, berkata seorang lelaki menembak menerusi pintu kaca pejabat itu ke arah beberapa pekerja.
“Tiada apa yang lebih menakutkan berbanding mendengar beberapa orang ditembak ketika anda di bawah meja dan kemudian kamu mendengar penembak mengisi peluru ke dalam senapangnya,” kata Davis.
Pemangku ketua polis daerah Anne Arundel, Bill Krampf pada sidang media berkata setakat ini, lima mangsa dilaporkan maut dalam kejadian itu.
Sementara jurucakap polis, Leftenan Ryan Frashure, berkata tiga lagi mangsa dilaporkan cedera.
Eksekutif daerah Anne Arundel, Steve Schuh ketika memberitahu CNN berkata, suspek tidak memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan setakat ini mereka masih gagal mengesahkan identitinya.
Krampf berkata polis berjaya menemui dan menghapuskan bahan letupan yang dipercayai dipasang suspek pada bangunan setinggi empat tingkat terbabit.
Pada masa sama katanya, 170 kakitangan yang berada di dalam bangunan itu berjaya dibawa keluar dengan selamat. – AFP, 29 Jun, 2018.
Komen