Turki kutuk serangan 'tidak berperikemanusiaan' Syria ke atas Daraa


Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menggesa Syria menghentikan serangan yang telah meragut nyawa puluhan orang awam. – Gambar EPA, 29 Jun, 2018.

TURKI mengutuk serangan ke atas bandar-bandar yang dikuasai pemberontak di selatan Syria, menyifatkan ia “tidak berperikemanusiaan” dan menggesa sekutu Damsyik menghentikan serangan yang telah meragut nyawa puluhan orang awam.

Presien Syria Bashar al-Assad dengan bantuan Rusia telah menyerang wilayah Daraa selama lebih seminggu melalui serangan udara udara, tembakan roket dan bom minyak mentah.

Menurut Observatori Hak Asasi Manusia Syria, berpuluh serangan yang dikenal pasti dilepaskan oleh tentera Rusia telah membunuh 25 orang awam yang kebanyakannya dari bandar Al-Mseifa.

“Rusia, Iran dan AS bertanggungjawab terhadap pencabulan ini (oleh rejim),” Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Anadolu.

“Kami mengutuk serangan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat yang tidak bersalah ini,” kata Jurucakap Kementerian Luar Turki, Hami Aksoy dalam satu kenyataan.

Ankara telah berulang kali menggesa Assad disingkirkan, manakala Moscow menyokong rejim dengan memberi bantuan ketenteraan.

Namun, bersama Iran, Rusia dan Turki berusaha mencari jalan penyelesaian politik di Syria menerusi rundingan damai yang diadakan di Astana, Kazakhstan. – AFP, 29 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen