Sekarang Wan Azizah kata PH perlu menang PRU14 sebelum umum calon PM


Amin Iskandar Melati A. Jalil

SELEPAS Anwar Ibrahim menarik diri, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail mengatakan Pakatan Harapan (PH) perlu menang PRU14 terlebih dahulu sebelum mengumumkan siapakah bakal calon perdana menteri mereka.

Ketua pembangkang itu turut berkata, perbincangan di kalangan parti-parti PH mengenai senarai kepimpinan masih lagi berjalan.

“Menang dulu, lepas itu siapa-siapa nak jadi perdana menteri pun boleh, anda pun boleh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

“Sekarang kita fokus nak menang terlebih dahulu.”

Sabtu lalu, Anwar mengumumkan menarik diri sebagai calon perdana menteri PH.

PH masih lagi tidak dapat membuat keputusan mengenai senarai akhir pemimpin dalam Majlis Presiden.

Pada 16 Jun, Wan Azizah berjanji untuk mengumumkan senarai kepimpinan. 

Bagaimanapun, ianya masih belum diumumkan sehingga kini termasuk logo dan perlembagaan PH. 

Senarai kepimpinan PH sepatutnya dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Presiden PH dua minggu lalu tetapi terhenti selepas menerima nota daripada Anwar.

Selepas itu, dalam pertemuan bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu di mahkamah, Anwar meminta rakan-rakan PH menunggu keputusan mesyuarat Biro Politik PKR.

Dalam satu temubual bersama Channel News Asia, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad mengakui peranannya menyebabkan pendaftaran PH tergendala.

“(Saya fikir ada antara mereka) bimbang, mereka sangsi, mereka merasakan saya masih mahu berkuasa, (dan) merampas parti mereka,” kata bekas perdana menteri yang berkhidmat selama 22 tahun itu. – 22 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen