BALI membuka semula lapangan terbangnya hari ini selepas ditutup sementara akibat letusan gunung berapi yang menyebabkan ribuan pelancong terkandas berikutan penerbangan tergendala.
Lapangan terbang antarabangsa Ngurah Rai mula beroperasi jam 2.30 petang waktu tempatan, kira-kira 12 jam selepas ia ditutup apabila Gunung Agung mengeluarkan asap dan debu.
Debu berbahaya kepada pesawat kerana ia menjadikan landasan licin dan boleh termasuk ke dalam enjin.
Perubahan arah angin menolak debu dari lapangan terbang itu, membolehkan penerbangan bersambung semula, kata pegawai lapangan terbang.
“Lapangan terbang akan beroperasi 24 jam bagi membolehkan semua penerbangan kembali mengikut jadual,” katanya.
Penutupan awal pagi itu menyebabkan pembatalan lebih 300 penerbangan masuk dan keluar ke pulau peranginan itu dengan hampir 27,000 penumpang terjejas.
Kira-kira 400 penduduk berhampiran gunung berapi itu – kira-kira 75km dari hab pelancongan Kuta, dipindahkan ke pusat penempatan.
Puncak gunung kelihatan berwarna merah jingga selepas ia mengeluarkan asap tebal kira-kira 2,000 meter ke ruang udara pada petang semalam.
Pihak berkuasa menutup lapangan terbang selepas juruterbang mengesan debu gunung berapi setinggi 23,000 kaki.
Letusan Gunung Agung pada November lalu juga menyebabkan ribuan orang terkandas dan menjejaskan industri pelancongan Bali, yang menjadi tunjang utama ekonominya.
Ribuan penduduk terpaksa berpindah ke pusat penempatan tahun lalau.
Letusan terbesarnya pada 1963 menyebabkan kira-kira 1,600 terbunuh.
Indonesia terletak dalam gelang api Pasifik, zon geologi yang tidak stabil di mana pergeseran plat tektonik menyebabkan gempa bumi dan aktiviti gunung berapi. – AFP, 29 Jun, 2018.
Komen