Presiden Ghana pecat pengerusi SPR, dua timbalan


Presiden Ghana, Nana Addo Dankwa Akufo-Addo, telah memecat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Charlotte Osei, serta dua timbalannya, Amadu Sulley dan Georgina Opoku Amankwah. – Gambar AFP, 29 Jun, 2018.

PRESIDEN Ghana, Nana Addo Dankwa Akufo-Addo, telah memecat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Charlotte Osei, serta dua timbalannya, Amadu Sulley dan Georgina Opoku Amankwah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis oleh Menteri Penerangan Ghana, Mustapha Abdul-Hamid, keputusan itu dibuat susulan syor jawatankuasa yang ditubuhkan oleh ketua hakim negara bagi menyiasat aduan terhadap ketiga-tiga individu.

Jawatankuasa itu mengesyorkan pemecatan mereka berdasarkan “salah laku dan ketidakcekapan yang telah dinyatakan menurut Perkara 146 (1) Perlembagaan.”

“Peruntukan Perkara 146 (9) Perlembagaan mengkehendaki Presiden Republik bertindak mengikut saranan Jawatankuasa,” menurut kenyataan itu.

Presiden, menurut kenyataan itu, telah mengarahkan mereka untuk menyerahkan jadual masing-masing kepada pengarah sumber manusia dan perkhidmatan am SPR.

Sesetengah kakitangan SPR telah menghantar petisyen kepada presiden untuk memecat pengerusi SPR itu pada Julai tahun lepas atas dakwaan salah urus kewangan dan penyalahgunaan jawatan.

Terdapat juga tuduhan dan tuduhan balas oleh pengerusi serta kedua-dua timbalannya dan petisyen itu telah dirujuk kepada ketua hakim yang berakhir dengan penubuhan jawatankuasa lima anggota bagi menyiasat dakwaan rasuah terhadap mereka. – Bernama, 29 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen