AHLI-ahli Parlimen Mesir meluluskan bacaan pertama rang undang-rang undang yang akan memantau pengguna media sosial popular dalam usaha kerajaan membanteras berita palsu.
Platform seperti Twitter dan Facebook menjadi salah satu daripada forum terakhir perdebatan awam di Mesir sejak larangan terhadap semua perhimpunan kecuali yang mendapat kebenaran polis sejak November 2013.
Menurut Association of Freedom of Thought and Expression (AFTE), setakat ini lebih daripada 500 laman web telah disekat di Mesir.
Pada 10 Jun, Parlimen Mesir memberi kelulusan awal rang undang-undang tersebut sementara menunggu bacaan akhir yang kemudiannya akan diluluskan oleh Presiden Abdel Fatah as-Sisi.
Di bawah rang undang-undang itu, pengguna Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya 5,000 pengikut akan diletakkan di bawah pengawasan Majlis Tertinggi Peraturan Media Mesir.
Majlis yang terkenal dengan kritikan terhadap media asing dan program televisyen yang didakwa mencabul moral awam, akan memantau setiap laman web peribadi, blog atau akaun elektronik bagi sesiapa sahaja yang mempunyai 5,000 pengikut atau lebih.
Ia berhak menggantung atau menyekat akaun-akaun berkenaan sekiranya mereka menerbit atau menyiarkan berita palsu atau maklumat yang menghasut kepada perlanggaran undang-undang, keganasan dan kebencian. – AFP, 29 Jun, 2018.
Komen