Beku akaun Umno cubaan lumpuhkan parti, kata pemimpin Johor


Mohd Farhan Darwis

Tanpa sumber kewangan, usahkan Umno, mana-mana parti politik pun tidak akan dapat bertahan lama, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Dr Latiff Ahmad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2018.

TINDAKAN pihak berkuasa melumpuhkan akaun Umno adalah cubaan untuk melumpuhkan parti itu selepas Pakatan Harapan berkuasa, dan seterusnya menghapuskan parti Melayu itu, kata pemimpin Umno Johor.

Tanpa sumber kewangan, usahkan Umno, mana-mana parti politik pun tidak akan dapat bertahan lama, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Dr Latiff Ahmad.

“(Ini tindakan) hendak menekan Umno. Ia lebih kepada nak lumpuhkan parti, nak haramkan parti. Bila tidak ada duit nanti parti mampuslah… ini lebih kepada nak menganiaya parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pasukan petugas khas yang menyiasat skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) hari ini mengesahkan telah membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa pertubuhan termasuk Umno yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana syarikat pelaburan negara itu.

“Pasukan Petugas Khas 1MDB memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara adil dan profesional serta mengikut undang-undang yang ditetapkan,” kata kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh empat pengerusi pasukan berkenaan.

Pasukan itu dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull dan bekas Pengarah Cawangan Khas, Abdul Hamid Bador.

Kenyataan itu mengesahkan pendedahan pemangku presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membekukan akaun Umno, termasuk beberapa akaun Umno negeri.

Laporan sebelum ini menyebut pembekuan akaun itu dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2011, melibatkan lebih kurang 1,000 individu dan pertubuhan, termasuk keluarga bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Abdul Latiff menyifatkan tindakan pihak berkuasa ini “tindakan berpilih”, walaupun beliau mengakui agensi penguatkuasa itu bertindak mengikut undang-undang.

“Walaupun SPRM buat kerja yang patut mereka buat, mereka kena ikut undang-undang, kalau dulu ada mana-mana parti yang menerima dana-dana yang mencurigakan patut juga disiasat.

“Seolah olah Umno ditekan. Ada atau tidak dana daripada syarikat yang berkait dengannya masuk dalam akaun MCA… MCA kata pun mengaku ada menerima, (bekas presiden) Chua Soi Lek dulu kata ada terima. Kenapa tak disiasat,” katanya.

Pasukan petugas khas 1MDB dalam kenyataannya hari ini turut mengesahkan, selain Umno mereka juga membekukan akaun beberapa parti politik lain, serta persatuan dan syarikat yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana 1MDB.

Dr Latiff, yang juga Ahli Parlimen Mersing dan Ketua Bahagian Umno Mersing, bagaimanapun berkata, bahagiannya tidak menerima dana tersebut.

“Saya pun tak berapa ingat. Umno Mersing tak terlibat. Kita tak terima pun dana tersebut. Ini semua dana daripada perhubungan,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata, Umno Johor menyokong sebarang tindakan Umno Pusat dan akan bekerjasama untuk mendapatkan semula akaun-akaun yang dibekukan itu.

Zahid semalam turut mendedahkan akaun Umno Selangor terlibat dalam tindakan pembekuan itu.

Zahid juga menuduh kerajaan dan Pendaftar Pertubuhan mahu membatalkan pendaftaran Umno.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dalam reaksi berkata, kerajaan tidak ada sebarang muslihat atau niat lain, selain menyiasat penyelewengan 1MDB. Semua tindakan itu katanya mengikut undang-undang. – 29 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen