27 ahli Ikhwanul Muslimin Mesir dipenjara seumur hidup


Kes itu bermula pada 2016 apabila 37 anggota Ikhwanul Muslimin berarak di bandar pesisir Iskandariah dengan membawa risalah dan melaungkan slogan bagi mencetuskan keganasan terhadap institusi kerajaan. – Gambar AFP, 29 Jun, 2018.

SEBUAH mahkamah Mesir pada Khamis menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas 27 ahli Ikhwanul Muslimin kerana mencetuskan keganasan, lapor agensi berita China memetik laporan Agensi Berita Timur Tengah (Mena).

Hukuman penjara seumur hidup di Mesir membawa maksud pesalah terpaksa meringkuk dalam tahanan selama 25 tahun.

Kes itu bermula pada 2016 apabila 37 anggota Ikhwanul Muslimin berarak di bandar pesisir Iskandariah dengan membawa risalah dan melaungkan slogan bagi mencetuskan keganasan terhadap institusi kerajaan.

Mereka telah didakwa melakukan tunjuk perasaan tanpa kebenaran, menakut-nakutkan rakyat dan membahayakan ketenteraman awam.

Sepuluh lagi dihukum penjara 10 tahun dalam kes yang sama, menurut laporan itu. 

Bekas presiden Islam Mohamed Morsi telah digulingkan oleh tentera pada Julai 2013 susulan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap pemerintahannya selama setahun.

Tindakan keras ke atas penyokong-penyokong Morsi telah menyebabkan beratus-ratus orang maut manakala beribu-ribu lagi ditahan. 

Kerajaan telah melabel Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas.

Mesir telah berdepan satu gelombang keganasan yang meragut nyawa beratus-ratus anggota polis, tentera dan orang awam. 

Satu kumpulan yang berpangkalan di Sinai dan bergabung dengan Daesh telah mengaku bertanggungjawab melakukan kebanyakan serangan itu. – Bernama, 29 Jun, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen