Australia lulus undang-undang halang campur tangan asing


Canberra tahun lalu mengumumkan rancangan untuk memperkenal pembaharuan menyeluruh terhadap undang-undang pengintipan dan campur tangan asing, dengan China dijadikan satu-satunya fokus kebimbangan tersebut. – Gambar AFP, 29 Jun, 2018.

UNDANG-undang baharu bertujuan mengekang campur tangan kerajaan asing diluluskan Parlimen Australia menjelang pilihan raya kecil, ditengah-tengah kebimbangan yang memuncak mengenai campur tangan China dalam politik domestik negara itu.

Canberra tahun lalu mengumumkan rancangan untuk memperkenal pembaharuan menyeluruh terhadap undang-undang pengintipan dan campur tangan asing, dengan China dijadikan satu-satunya fokus kebimbangan tersebut.

Agensi perisikan Australia membangkitkan kebimbangan bahawa Beijing masuk campur dalam institusi tempatan dan menggunakan sistem derma politik bagi mendapatkan akses.

“Pengintipan dan campur tangan asing mengundang risiko terhadap keselamatan dan pertahanan Australia,” kata kerajaan dalam kenyataan selepas undang-undang itu diluluskan Parlimen pada Khamis.

“Musuh dari negara luar sedang aktif berusaha melakukan perkara yang bertentang dengan kepentingan Australia melalui pelbagai cara, termasuk mendapatkan maklumat sulit atau cuba untuk mempengaruhi keputusan proses demokratik Australia.”

Perubahan itu termasuk memperkuat kesalahan pengintipan dan memperkenalkan kesalahan baharu yang menyasarkan tindakan rahsia, penipuan dan ancaman oleh pelaku asing yang cuba untuk mempengaruhi atau memudaratkan politik domestik.

Orang ramai atau entiti yang melakukan kesalahan itu atas kepentingan asing akan dipaksa supaya mendedahkan hubungan mereka sebagai langkah untuk menjadikan sistem politik lebih telus.

Undang-undang itu mengalami banyak pindaan dan menerima pelbagai kritikan daripada institusi, termasuk badan amal, yang menyifatkan pembaharuan itu terlalu luas dan boleh mencabul kebebasan berekspresi dan perdebatan dasar awam. – AFP, 29 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen