LG mulakan proses pewarisan generasi keempat


Koo Kwang-mo, anak saudara dan juga anak angkat mendiang CEO Koo Bon-moo yang meninggal dunia Mei lalu diterima masuk ke dalam lembaga pengarah syarikat. Beliau dijangka akan menjadi CEO seterusnya, generasi keempat keluarga itu yang memegang jawatan itu. – Gambar AFP, 29 Jun, 2018.

KUMPULAN LG dari Korea Selatan pada Jumaat mengumumkan kemasukan waris terbaru gergasi niaga itu sebagai ahli lembaga pengarahnya, seterusnya membuka laluan pemindahan kuasa syarikat dalam kalangan ahli keluarga yang memegang kuasa korporat negara itu.

LG adalah konglomerat keempat terbesar negara itu dan dikenali di peringkat antarabangsa kerana peralatan rumah dan elektroniknya, walaupun aktiviti niaga yang lain termasuklah bidang kimia, kosmetik dan pembotolan Coca-Cola.

Koo Kwang-mo, eksekutif kanan di LG Electronics dan anak angkat mendiang Pengerusi Koo Bon-moo yang meninggal Mei lalu pada usia 73 tahun dilantik ke dalam Lembaga Pengarah Kumpulan LG pada mesyuarat pemilik saham.

Industri Korea Selatan didominasi oleh empayar keluarga yang dikenali sebagai “chaebol” memainkan perana penting dalam kebangkitan negara itu jadi ekonomi ke-11 terbesar dunia, dibantu oleh pinjaman faedah rendah dan hubungan rapat dengan kerajaan.

Tetapi, mereka kini berdepan kecaman kerana mengekang inovasi dan persaingan, keluarga ternama ini juga dituduh menguruskan syarikat seperti lombong emas peribadi dengan tiada atau sedikit kawalan oleh pegawai serta kawal selia pemegang saham.

Kemelut keluarga dan dakwaan jenayah- selalunya berkaitan dengan pengelakan cukai dan rasuah- selalu jadi berita utama media.

Waris Samsung Lee Jae-yong misalnya dipenjara tahun lepas kerana peranannya dalam skandal korupsi yang menjatuhkan Presiden Park Guen-hye, walaupun banyak sabitan bersalahnya diketepikan pada peringkat rayuan.

Namun, keluarga Koo berjaya mengelak terpalit skandal.

Koo Kwang-mo, 40, dijangka menjadi CEO Kumpulan LG, lapor agensi berita Yonhap, menjadikan beliau waris generasi keempat keluarga memegang jawatan itu.

Beliau adalah anak saudara kepada CEO sebelum ini, Koo Boon-mo tetapi dijadikan anak angkat rasmi pada 2004 bagi memastikan beliau mempunyai status anak sulung lelaki dan memelihara nasab keluarga yang mementingkan anak lelaki, situasi yang masih dianggap penting masyarakat tradisional negara itu. Boon-mo mempunyai dua anak perempuan.

Lumrahnya, anak saudara berada dalam susunan pewaris di Korea Selatan selepas anak sendiri, ibu bapa dan abang atau adik lelaki. – AFP, 29 Jun, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen